PASIR GUDANG – Kerajaan akan hilang keabsahan atau legitimasi jika tidak dapat majoriti mudah daripada undian ahli Parlimen untuk menyokong Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat esok.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, proses tersebut adalah penting dan amat bermakna yang akan memberi kesan besar jika kerajaan tewas.
“Ini bukan perkara kecil. Bukan perkara main-main. Hal pengundian ini amat serius dan kesannya amat besar jika RMK-13 itu ditolak oleh blok pembangkang dan bebas sama ada dalam undian suara ataupun undian belah bahagi petang esok.
“Jika kerajaan tewas esok dalam usul pembentangan RMK-13 ia bermakna kerajaan hilang keabsahan atau legitimasi.
“Kekalahan sedemikian rupa bermakna Perdana Menteri dan kerajaannya hilang kepercayaan di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru katanya, ahli-ahli Parlimen kerajaan mesti berkampung esok di Dewan Rakyat untuk mempertahankan kerajaan.
Perlu diingat katanya, jumlah ahli Parlimen pembangkang sangat besar sekarang ini dan boleh mempengaruhi keputusan pengundian nanti.
“Hal pengundian esok bukan perkara enteng. Jika dipandang ringan boleh membawa akibat Kerajaan Madani boleh tumbang,” ujarnya.
Menurutnya, usul menyokong RMK-13 memerlukan majoriti mudah sahaja dan pengundian secara undi suara akan dikendalikan oleh Speaker.
“Sekiranya di pihak kerajaan menang melalui undi suara itu dan dibantah oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang dengan tidak kurang 15 ahli Parlimen bangun menuntut pengundian secara belah bahagi atau block voting, maka Speaker mesti akur untuk melaksanakan undian secara belah bahagi.
“Di sinilah peranan Ketua Whip Kerajaan Madani iaitu Timbalan Perdana Menteri kedua menggunakan kuasa whipnya mengarahkan semua ahli Parlimen kerajaan termasuk menteri-menteri supaya mesti hadir esok untuk menyokong usul kerajaan bagi meluluskan RMK-13,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan RMK-13 di Dewan Rakyat pada 31 Julai lalu.
RMK-13 telah dibahaskan oleh ahli Parlimen diblok kerajaan, pembangkang dan Bebas.
Esok ialah minggu akhir penggulungan dari Menteri-Menteri dan diikuti dengan pengundian.- MalaysiaGazette















