JOHOR BAHRU – Gejala buli harus dibendung dengan segera dengan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat dilaksanakan di setiap institusi pendidikan.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Johor, Datuk Yahya Jaafar berkata, ini bagi memastikan setiap institusi pendidikan menjadi kawasan yang selamat.
Justeru katanya, PIBKS menyokong penuh penubuhan Jawatankuasa Khas Anti Buli di setiap daerah Johor.
“PIBKS akan sentiasa cakna, komited, dan berada di barisan hadapan dalam merealisasikan kejayaan inisiatif ini.
“Kami juga berharap agar pelaksanaan Dasar Keselamatan di Sekolah yang telah dibincangkan melalui sesi libat urus PIBKS bersama-sama Kementerian Pendidikan dapat disusun dan dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata,kerajaan negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Antibuli Negeri Johor bagi membanteras budaya buli di negeri ini.
Menurut Onn Hafiz, jawatan kuasa itu akan memberi fokus kepada lima teras utama iaitu penyelarasan sekolah; pembabitan pelajar; peranan ibu bapa dan komuniti; kerjasama penguatkuasaan serta kesedaran dan sokongan psikososial.
Yahya setersusnya menyeru semua pihak sama ada pendidik, ibu bapa, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), komuniti setempat serta agensi-agensi berkaitan untuk berganding bahu memastikan usaha itu berjalan lancar dan berterusan.
“Hasrat kita adalah menjadikan Johor sebuah negeri yang sekolah-sekolahnya selamat, harmoni dan aman damai.
“PIBKS akan terus sederap dan sehaluan bersama YB Exco Pendidikan Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, serta Pejabat Pendidikan Daerah demi memastikan matlamat ini tercapai,” ujarnya.- MalaysiaGazette















