Antara pengunjung yang membawa kain rentang ketika Himpunan Solidariti #JusticeforZara di Padang Cenderawasih, Kuantan

KUANTAN – Laungan #justiceforZara bergema di Padang Cenderawasih, di sini malam tadi dengan dianggarkan lebih 5,000 orang menyertai Himpunan Solidariti aman tersebut.

Para peserta yang berpakaian serba hitam tidak kira umur memenuhi padang meskipun dalam keadaan hujan dan padang yang dibanjiri air.

Himpunan yang dianjurkan gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu pada awalnya dimaklum diadakan di Serambi Teruntum, Tanjung Lumpur namun lokasinya diubah pada saat akhir.

Program berlangsung dengan ucapan daripada tujuh penceramah selepas solat Isyak dan solat hajat yang didakan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Cenderawasih.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Datuk Rosli Jabar dan ADUN Beserah, Datuk Andansura Rabu yang turut menyampaikan ucapan selain wakil-wakil NGO dan gabungan mahasiswa dan mahasiswi Islam Malaysia.

Kisah tragis membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13 yang meninggal dunia bulan lepas dipercayai akibat daripada kejadian buli di sekolahnya di Sabah terus menjadi sorotan umum di negara ini.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.

Semalam, lima remaja perempuan yang dikaitkan dengan kes itu telah didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, Sabah.

Kesemua mereka dilaporkan tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan iaitu berhubung kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina. – MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN

https://www.facebook.com/share/v/17GRqmyV62/?mibextid=wwXIfr

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast