KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi bernilai RM3.1 juta yang diseleweng menerusi penguatkuasaan pihaknya antara 2024 hingga 18 Ogos lalu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, rampasan LPG bersubsidi yang diseleweng itu melibatkan 489 kes menerusi Ops 3.0 yang bermula 7 Januari tahun lalu.
“Operasi penguatkuasaan itu melibatkan enam barang kawalan iaitu diesel, gula putih bertapis, minyak masak bungkus polibeg 1kg, tepung gandum, petrol RON95 dan LPG,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri, sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli bertanyakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengenai langkah Kerajaan dalam membanteras ketirisan subsidi LPG.
Shamshulkahar juga bertanyakan langkah kerajaan bagi mengurangkan beban kos kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti warung dan gerai makan dalam usaha kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi LPG kepada sektor komersial.
Menurut Armizan, Operasi Gas Memasak (Ops Gasak) dilakukan untuk memperkukuh penguatkuasaan subsidi LPG yang disalah guna sektor tidak layak dalam industri komersial dan perniagaan berskala besar pada 1 Mei hingga 31 Oktober lalu.
“Salah satu bentuk penyelewengan yang menjadi sasaran ialah menangani kegiatan decanting, iaitu pemindahan LPG secara haram daripada tong bersubsidi ke tong industri ataupun tong komersial.
“KPDN juga akan memanfaatkan teknologi digital dalam memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan berhubung pengedaran, penyimpanan dan penggunaan LPG bersubsidi,” katanya.
Selain itu, katanya, pada masa ini kerajaan tidak melaksanakan penyasaran subsidi bagi produk LPG dan PMKS masih boleh menggunakan LPG bersubsidi dan mereka tidak sepatutnya menaikkan harga makanan.
“Buat masa ini kerajaan juga akan terus memastikan subsidi penggunaan LPG dinikmati oleh isi rumah dan PMKS, terutamanya sektor makanan dan minuman,” katanya. – MalaysiaGazette
















