Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Piawaian baharu pelepasan efluen air sisa bandar dan luar bandar akan diwujudkan berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM).

Piawaian yang akan dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Negeri itu merangkumi 11 parameter utama termasuk pH, BOD, COD, pepejal terampai, minyak dan gris, nitrogen, merkuri, warna dan sisa pepejal.

Keputusan tersebut dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bil. 2 Tahun 2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, mesyuarat telah memutuskan satu bengkel memperincikan piawaian pelepasan air dari sistem perparitan sebelum dilepaskan ke jajaran sungai.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyelaras tindakan bersama Kementerian berkaitan dan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri juga disarankan untuk menggunapakai teknologi tempatan yang telah dibangunkan oleh pihak NAHRIM seperti pengekstrak beban terampai, perangkap minyak dan gris menggunakan teknologi IOT, sistem Intriguard bagi penandaan rizab sungai untuk mengelak pencemaran luar masuk ke dalam jajaran sungai.

Katanya, pelaksanaan langkah strategik itu diyakini dapat memulihkan kualiti air sungai secara signifikan, memastikan kelestarian alam sekitar, menjamin kesihatan rakyat, serta menyokong pembangunan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan pencemaran global.

“Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan sungai-sungai negara kekal bersih, selamat dan lestari untuk generasi kini dan akan datang, selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang menitikberatkan kemampanan sumber negara demi kesejahteraaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, mesyuarat hari ini turut memberi tumpuan kepada Laporan Status Kualiti Air Sungai 2024 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, daripada 672 sungai utama dipantau, sebanyak 475 sungai (71%) berada dalam kategori bersih,170 sungai (25%) sederhana tercemar, manakala 27 sungai (4%) tercemar. Antara parameter utama pencemar dikenal pasti ialah Biochemical Oxygen Demand (BOD), Chemical Oxygen Demand (COD), Ammonia Nitrogen (AN), Total Suspended Solids (TSS) dan Dissolved Oxygen (DO). -MaaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast