KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 akan datang bakal menjadi yang terakhir ditandingi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Perkara itu diumumkan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu dalam satu majlis yang diadakan di Tuaran, Sabah hari ini.
Menurut Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah berusia 70 tahun itu, beliau sudah penat setelah berkecimpung selama 35 tahun di arena politik.
“Oleh kerana saya adalah Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ketua Menteri, dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), jika tidak kerana itu, sebenarnya saya sudah penat dengan politik. Saya sudah tua, walaupun hati saya masih ‘muda’,” katanya seperti yang dilaporkan media.
Hajiji memulakan kerjayanya sebagai penjawat awam sebelum terjun ke dunia politik pada tahun 1990 sebagai ahli Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Ahli politik berpengalaman dari Kampung Serusup, Tuaran itu menyertai Umno pada tahun 1994 selepas USNO dibubarkan.
Selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional pada 2020, Hajiji mengetuai bekas pemimpin Umno Sabah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dua tahun kemudian, selepas Pilihan Raya Umum ke-15, beliau sekali lagi mengetuai langkah keluar, kali ini meninggalkan Bersatu untuk menubuhkan parti tempatan, Gagasan.
Bulan lalu, GRS turut mencadangkan had dua penggal bagi jawatan Ketua Menteri Sabah untuk dimasukkan dalam manifesto pilihan raya mereka. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















