(Dari kiri) Rohit, Putri, Dhiya, Athifa dan Zhi Kai terlibat dalam program advokasi komuniti di ibu negara.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 12 mahasiswa tahun pertama dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM) telah melaksanakan satu inisiatif advokasi komuniti yang bertajuk Nadi Peniaga: Suara Peniaga Jalan, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran perundangan dalam kalangan peniaga makanan jalanan di ibu kota.

Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kursus wajib universiti di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), dan telah dijalankan dalam tempoh kira-kira 14 minggu.

Program ini dijalankan kerana banyak peniaga, walaupun merupakan usahawan yang gigih berdikari, tetap jatuh dalam golongan B40 dalam pembahagian pendapatan isi rumah.

Komuniti ini bukan sahaja menghadapi tekanan ekonomi, tetapi juga turut berdepan dengan kekangan dalam memahami aspek undang-undang yang kompleks serta prosedur berkaitan dengan operasi perniagaan.

Justeru, kumpulan mahasiswa ini ingin menyelam secara lebih mendalam untuk meneliti dan memahami masalah undang-undang yang membelenggu para peniaga jalanan, khususnya di kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur.

Program ini dilaksanakan di Jalan Petaling dan Jalan Alor, dua lokasi ikonik yang menjadi tumpuan pelancong antarabangsa kerana terkenal dengan hidangan tradisional tempatan.

Program yang mendapat kerjasama beberapa persatuan peniaga turut  memberi peluang emas kepada kumpulan mahasiswa ini terbabit menjalankan sesi temu bual secara langsung bersama peniaga-peniaga makanan jalanan di Jalan Petaling dan Jalan Alor dan pemimpin komuniti setempat.

Antara tokoh yang terlibat dalam sesi temu bual termasuklah See Foo Hong selaku Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bukit Bintang; Simon Ang selaku Setiausaha Persatuan Penjaja Jalan Alor; dan Ahmed Bin Hussein sebagai wakil daripada Persatuan Kesaksamaan Demi Kedamaian Rakyat Sejagat.

Melalui sesi ini, kumpulan ini mengumpul pandangan serta maklumat berkaitan cabaran yang dihadapi oleh peniaga dari segi peraturan perniagaan, kebersihan makanan, serta akses kepada bantuan guaman.

Kumpulan tersebut mendapat bimbingan daripada pensyarah penasihat mereka, Dr Zalina Abdul Halim, yang juga merupakan pensyarah kanan Fakulti Undang-Undang UM.

Sebagai hasil utama program ini, kumpulan mahasiswa kemudiannya telah menghasilkan risalah dwi-bahasa (Bahasa Melayu dan Bahasa Cina) yang memuatkan maklumat asas berkaitan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 serta maklumat akses kepada bantuan guaman melalui Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam dan Klinik Bantuan Guaman UM.

Pemilihan dua bahasa ini dibuat berdasarkan bahasa utama yang digunakan oleh kebanyakan peniaga di kawasan terlibat. Inisiatif ini penting untuk membantu
membesarkan sasaran yang mampu memahami risalah tersebut.

Risalah tersebut telah disemak dan diperakui oleh Dr Zalina, dan pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum diedarkan kepada para peniaga.

Proses ini penting untuk memastikan kandungan yang disampaikan bukan sahaja sahih dari segi perundangan, malah bersesuaian dengan keperluan serta konteks komuniti sasaran.

Selain risalah bercetak, kumpulan ini juga merakam dan menghasilkan sebuah video penerangan projek bagi tujuan dokumentasi dalaman dan rujukan masa depan.

Kandungan video tersebut turut menerangkan objektif, proses pelaksanaan, serta impak awal program yang harus dicapai. Kumpulan tersebut berharap agar maklumat dalam risalah yang disediakan dapat membantu peniaga jalan memahami undang-undang negara serta memudahkan mereka mendapatkan bantuan guaman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast