KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat laporan yang dibuat oleh Lembaga Tabung Haji (TH) susulan penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di laman sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan telah menerima laporan berkenaan dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ia kerana pihak terbabit tetap menyebarkan fitnah terhadap agensi berkenaan meskipun penjelasan rasmi telah diberikan oleh pihak TH dan jawapan turut diberi oleh Menteri Agama di Parlimen.
“Individu yang didapati menyebarkan fitnah terbabit kini sedang dikenal pasti untuk tindakan lanjut mengikut saluran undang-undang. Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terhadap sebaran palsu tersebut yang merupakan satu jenayah serius.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 dan ia bukan jumlah yang kecil,” katanya selepas Pelancaran Kempen Denyut Nadi Merdeka dan Pengumuman Operasi Rapid KL Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di sini, hari ini.
Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad memaklumkan, pihakya telah membuat laporan polis dan SKMM berhubung isu berkenaan
Katanya, hantaran video dengan provokasi dan tuduhan melulu terutamanya berkaitan inisiatif penjenamaan serta tadbir urus TH boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan pelan penjenamaan adalah usaha untuk memperkasakan semula peranan TH sebagai institusi simpanan orang Islam agar mereka dapat mengembangkan simpanan dan menunaikan ibadat haji.
Mengulas lanjut Fahmi menegaskan, peringatan telah diberikan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat yang diterima di media sosial.
“Ambil pengajaran daripada kes sebelum ini, seperti kes arwah Zara Qairina yang difitnah kononnya dimasukkan ke dalam mesin basuh oleh seorang guru. Guru itu telah ditahan dan didakwa di mahkamah.
“Terdapat juga individu yang menyamar sebagai pakar patologi dan menyebarkan dakwaan tidak berasas hingga mencetuskan fitnah besar di media sosial. Individu tersebut turut ditahan reman selama tiga malam dan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.” katanya.
Menjelaskan mengenai kes TH, Fahmi berkata, fitnah yang dilemparkan tidak akan dibiarkan begitu sahaja dan tindakan tegas akan diambil mengikut lunas undang-undang.
Tegas beliau, sekiranya terdapat elemen lain, siasatan akan turut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana TH juga membuat laporan kepada pihak berkuasa itu.
Fahmi mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat yang belum disahkan, bagi mengelak daripada berdepan tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette

















Jangan double standard laaa….Rapizi dan Siti Nurhalizah fitnah TH bila nak ambil tindakan?