Bangunan Tabung haji

KUALA LUMPUR – Inisiatif penjenamaan yang dilaksanakan oleh Lembaga Tabung Haji bertujuan memperkasakan kedudukannya sebagai institusi simpanan Islam pilihan umat Islam dan kekal menabung secara sistematik dan konsisten.

Bagi mencapai matlamat ini, TH memerlukan kepakaran teknikal yang bersesuaian dan amalan ini adalah sama seperti contoh-contoh daripada sejarah Islam, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.

Tambahnya, konsortium yang dibentuk oleh TH ini memberi sokongan teknikal yang diperlukan bagi inisiatif penjenamaan yang kompleks.

Bagaimanapun, pengurusan operasi TH masih ditadbir urus dan dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan pengurusan bumiputera Muslim.

Jelasnya, TH ditubuhkan dengan niat utama untuk umat Islam Malaysia menabung dan menyempurnakan simpanan bagi tujuan haji.

“Kos mengerjakan haji kian meningkat tetapi kadar simpanan pendeposit tidak berkembang. Kebanyakan pendeposit tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk mengerjakan ibadat haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, TH perlu menjadi sebuah institusi simpanan yang berpaksikan pelanggan dan ini memerlukan evolusi strategi operasi dan jenama yang relevan, efektif dan bersesuaian dengan perubahan demografi yang dinamik, katanya.

Mustakim menambah, pelaksanaan pelan penjenamaan ini adalah usaha memperkasakan semula peranan TH sebagai institusi simpanan Islam dihormati agar umat Islam dapat mengembangkan simpanan mereka dan menunaikan ibadat haji.

Oleh itu, TH menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat dikongsikan yang tidak dapat dipastikan kesahihan sumbernya.

Katanya, hantaran video dengan provokasi dan tuduhan melulu kepada organisasi ini terutamanya berkaitan inisiatif penjenamaan dan tadbir urus TH yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum.

Mustakim menambah, TH memandang serius perkara ini dan sedang melaksanakan pemantauan rapat terhadap sebarang hantaran di media sosial, sama ada video atau penulisan yang cuba menghasut masyarakat dengan maklumat tidak benar yang boleh mencemarkan imej TH.

“TH telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan daripada penyebaran beberapa video berunsur fitnah dan hasutan di laman sosial.

“TH akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat bagi melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap
mana-mana individu dan pemilik akaun media sosial yang membuat hantaran berunsur hasutan mengikut lunas undang-undang,” ujarnya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast