Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Majlis Kuil–Kuil Hindu & Persatuan–Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) mengecam sekeras-kerasnya cubaan membangkitkan sentimen perkauman berhubung pelantikan Datuk M Kumar sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Presidennya, Datuk N Sivakumar berkata, tindakan seorang ahli Parlimen yang mempertikaikan perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana pelantikan jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam harus dilihat berdasarkan merit bukan bangsa.

“Setiap kali ada pelantikan melibatkan kaum selain Melayu, pasti akan ada pihak yang cuba mencetuskan isu perkauman. Apa manfaatnya kepada rakyat dan negara? Pelantikan sepatutnya dibuat berdasarkan kelayakan serta kemampuan bukan warna kulit atau agama,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu

Sivakumar mengulas seorang  pemimpin pembangkang secara sinis merakamkan ucapan tahniah kepada Kumar selain mendakwa Malaysia sudah mula menerima konsep ‘Malaysian Malaysia’.

Pemimpin berkenaan juga menyentuh mengenai Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam pada itu, Sivakumar turut menyokong pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan pelantikan tersebut dengan menjelaskan ia dibuat atas dasar kelayakan individu berkenaan.

“Saya puji tindakan Perdana Menteri yang menegaskan perkara ini bukan isu perkauman. Selagi seseorang mampu memikul tanggungjawab dengan baik, tiada sebab untuk mempertikai pelantikannya,” katanya.

Menurut Sivakumar, selepas 68 tahun merdeka, rakyat Malaysia sepatutnya sudah meninggalkan mentaliti rasis yang hanya melemahkan perpaduan negara.

Beliau mengingatkan kembali semangat perjuangan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 apabila semua kaum bersama-sama menyumbang kepada kebebasan tanah air.

Mahima menegaskan, sudah tiba masa rakyat Malaysia menolak politik dan retorik sempit sebaliknya  lebih penting memastikan individu yang paling layak dilantik supaya pentadbiran berjalan lancar dan perpaduan negara terus diperkukuhkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast