Mohamad (tengah) pada majlis pengisytiharan varieti padi baharu MR 333 yang secara rasmi diberi nama Menora.

KEPALA BATAS – Industri padi negara melakar sejarah baharu apabila Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) hari ini mengisytiharkan varieti padi terbaharu, MR 333 yang secara rasmi diberi nama Menora.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, varieti MR 333 dibangunkan melalui penyelidikan intensif MARDI dengan sokongan peruntukan RM36.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) khusus bagi pembangunan padi dan beras.

Jelasnya, varieti baharu ini direka khas untuk kawasan jelapang dan mencatatkan potensi hasil tertinggi sehingga 9.96 tan sehektar.

“MR 333 atau Menora terbukti berdaya saing, tahan penyakit karah, matang lebih singkat antara 103 hingga 108 hari serta mempunyai ketahanan rebah dan berat 1,000 biji tinggi iaitu 30.9 gram.

“Pengisytiharan varieti MR 333 ini adalah kejayaan berterusan hasil penyelidikan MARDI yang menyokong matlamat Pelan Reformasi Industri Padi dan Beras Negara.

“Varieti ini mampu membantu menin,enanaman yang baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDi MR333 di Kampung Lahar Minyak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi, Dr Azman Ismail; Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Pada majlis sama, Mohamad turut menyampaikan Geran Agropreneur Muda bernilai RM90,000 kepada Hambali Ammar Hamdan, Geran Projek Perintis RMK-12 bernilai RM37,140 kepada Chuah Ling Chean serta benih padi MR 333 kepada lima pesawah Projek Peningkatan Skala Varieti Padi Baharu Mardi.

Menurut beliau, pihaknya yakin dengan pengenalan varieti baharu ini pesawah akan menikmati hasil yang lebih lumayan.

“Di Jerteh, Terengganu, potensi hasil MR 333 mencecah 9.9 tan sehektar manakala di Sekinchan pesawah memperoleh sekitar 9.96 tan sehektar.

“Dengan penggunaan varieti baharu yang berdaya hasil tinggi serta pematuhan kepada SOP penanaman yang baik, InsyaAllah ia akan memberikan pulangan menguntungkan kepada pesawah,” katanya lagi.

Dengan pengisytiharan Menora, MARDI kini berjaya menghasilkan 58 varieti padi, yang mana lebih 95 peratus kawasan jelapang utama negara ditanam menggunakan varietinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast