KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing hari ini di Wisma Pertahanan sempena lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini.
Lawatan itu menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan erat yang sedia terjalin antara kedua-dua negara jiran melalui pelbagai pengisian diplomatik bermakna.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak menandatangani kerjasama baharu di bawah Mutual Submarine Rescue Support and Cooperation yang memberi tumpuan kepada aspek kesiapsiagaan dan keupayaan penyelamatan kecemasan kapal selam.
Mohamed Khaled berkata, kerjasama dengan Singapura amat penting kerana negara itu mempunyai kedudukan paling hampir dengan Malaysia sekiranya berlaku kecemasan.
“Sebagai negara jiran yang berkongsi laluan perairan strategik, pemeteraian ini akan membolehkan Malaysia dan Singapura bertindak dengan lebih cepat, tersusun dan berkesan apabila menghadapi sebarang situasi kecemasan kapal selam
“Jika berlaku sebarang insiden melibatkan operasi kapal selam, kerjasama ini diyakini memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak kerana ia memerlukan kepakaran, peralatan dan kesiapsiagaan yang tinggi,” ujarnya.
Beliau menambah, hanya segelintir negara ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Singapura memiliki kapal selam sekali gus menjadikan kolaborasi ini lebih relevan.
“Berasaskan semangat ASEAN dan hubungan sebagai jiran terdekat, kita percaya kerjasama sebegini sangat wajar untuk diperkukuh,” katanya kepada media selepas pertemuan itu.

Mohamed Khaled menambah, selain kerjasama penyelamatan kapal selam, kedua-dua pihak turut membincangkan soal keselamatan siber, penggunaan teknologi baharu termasuk pesawat udara tanpa pemandu (UAV) serta perlindungan infrastruktur bawah laut yang semakin penting bagi kebergantungan tenaga dan komunikasi.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu merangkumi perbincangan yang konstruktif bagi memajukan kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala.
“Kedua-dua menteri menegaskan komitmen bersama untuk menangani cabaran keselamatan serantau serta mempromosikan keamanan dan kestabilan di seluruh Asia Tenggara.
“Seiring dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, kedua-dua Menteri menegaskan tekad untuk meningkatkan kerjasama pertahanan melalui pelaksanaan berkesan pelbagai inisiatif yang akan datang dalam memajukan matlamat bersama
demi keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.
Kementerian Pertahanan menambah, selain itu, Malaysia turut merakamkan penghargaan atas sokongan Singapura terhadap cadangan dan inisiatif yang dibawa serta menyatakan keyakinan bahawa kesepakatan dapat dicapai dalam platform Mesyuarat Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN (ADSOM) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang bakal berlangsung.

Katanya, Singapura turut menyatakan sokongan terhadap usaha Malaysia dalam meredakan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja sekali gus mengiktiraf peranan proaktif Malaysia dalam memudah cara dialog serta memperkukuh kestabilan serantau.
“Kedua-dua menteri turut memuji kemajuan yang dicapai di bawah Arrangement Between the Government of Malaysia and the Government of The Republic of Singapore for Mutual Submarine Rescue Support and Cooperation.
“Mereka mengiktiraf kerjasama erat antara Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Laut Republik Singapura yang mencerminkan kesiapsiagaan serta sokongan bersama kedua-dua negara pada masa diperlukan.
Kementerian Pertahanan memberitahu, Mohamed Khaled turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat ADMM dan ADMM-Plus di Kuala Lumpur pada Oktober tahun ini.
Ujar kementerian itu, lawatan rasmi oleh Menteri Pertahanan Singapura itu menzahirkan semangat persahabatan dan setiakawan yang kukuh antara Malaysia dan Singapura.
“Mohamed Khaled mengucapkan tahniah kepada Chun Sing atas pelantikan beliau serta menyatakan keyakinan terhadap kejayaan berterusan Singapura di bawah pimpinan Perdana Menteri Lawrence Wong,” katanya. – MalaysiaGazette

















