Tular memaparkan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di Pontian pada 20 Ogos lalu

PONTIAN – Kenyataan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang mahu penutupan sebuah klinik di Pontian kerana mengibarkan Jalur Gemilang terbalik agar ditarik balik seperti menggambarkan perbuatan itu tidak salah.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pontian, Mohamad Kasir Zainon berkata, DAPSY juga dilihat cuba campur tangan dalam urusan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang mengarahkan penutupan itu.

“Kami melihat kenyataan DAPSY ini agak jelas, secara tidak langsung bermaksud mengibar Jalur Gemilang secara terbalik adalah tidak salah dan tidak perlu dikenakan tindakan undang-undang.

“Adakah pendirian DAPSY ini hanya terpakai hanya kepada kesalahan mengibar bendera secara terbalik? Lazimnya pendirian bersifat konsisten.

“Maka, adakah pendirian DAPSY ini juga terpakai bagi semua jenis kesalahan lain, termasuk kesalahan jenayah?

“Sekiranya benar sebegitu, adakah bagi DAPSY, Malaysia tiada lagi keperluan undang-undang, tiada lagi keperluan institusi kehakiman, penguatkuasa dan penjara juga tidak lagi perlu di Malaysia?

“Adakah pemuda sosialis DAP ini cuba menghina para penguatkuasa yang bertugas bagi menjaga keharmonian negara,” soalnya dalam satu kenyataan.

Khamis lalu, Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsuddin mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan notis penutupan kepada sebuah klinik di Pontian selama 30 hari yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada 20 Ogos lalu.

Menurut Abdul Azim, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP 2019, iaitu berhubung kewajipan pengibaran bendera.

Terdahulu Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY dalam satu kenyataan dilaporkan nberkata, arahan penutupan itu disifatkan keterlaluan dan hukuman tersebut tidak setimpal dengan kesalahan.

Menurut DAPSY, tindakan MPPn itu juga melampaui kuasa dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tatakelola kerajaan tempatan.

Mengulas lanjut, Mohamad Kasir berkata, DAPSY perlu sedar Malaysia sebuah negara yang menjunjung Perlembagaan dan semua pihak perlu patuh dan tidak terlepas daripada undang-undang.

“Terpahat juga dalam Rukun Negara yang ke-4, Kedaulatan Undang-undang yang membawa makna semua orang, termasuk kerajaan, tertakluk kepada undang-undang dan tidak ada yang boleh mengatasi undang-undang, memastikan keadilan dan persamaan di sisi undang-undang tanpa mengira kaum, jantina, mahupun kedudukan,” katanya.

Justeru katanya, Armada Pontian amat kesal dengan sikap DAPSY yang mencerminkan mereka tidak layak digelar pemimpin masa depan negara.

Pada masa sama, beliau memuji kecekapan MPPn atas tindakan tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast