KUALA LUMPUR – 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional Selangor, mendesak Kerajaan Persekutuan menghentikan segera cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA) yang kini dibawa ke Parlimen.
Cadangan URA memberi kuasa terlalu besar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai Urban Renewal Area.
“Kuasa melampau ini bukan sahaja mencabul hak pemilikan rakyat yang dijamin Perlembagaan malah juga mengikis kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Kami juga menolak keras cadangan menurunkan ambang persetujuan kepada hanya 75–80% dan had umur bangunan kepada 30 tahun sahaja untuk tujuan pembangunan semula.
“Mekanisme ini berisiko memaksa pemilik minority melepaskan rumah mereka walaupun enggan. Pengamal undang-undang telah
mengingatkan bahawa ambang rendah sebegini hanya akan melahirkan consent manufactured – persetujuan yang dipaksa, bukan yang sebenar,” kata mereka yang diketuai ADUN Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Bagi rakyat Selangor, khususnya, URA berpotensi menghapuskan kuota bumiputera dengan alasan “sukar dijual”, menghakis ekuiti dalam hartanah bandar, serta mempercepat gentrifikasi yang menghalau penduduk asal keluar dari bandar raya.
“Kami turut mencabar Menteri Besar Selangor, kerajaan negeri serta badan berkanun negeri termasuk PKNS untuk menyatakan pendirian jelas berhubung URA.
“Sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan perumahan rakyat, mereka tidak boleh berdiam diri. Jika benar berjuang untuk kepentingan rakyat khususnya pemilik rumah dan ekuiti Bumiputera di bandar, maka Kerajaan Negeri Selangor wajib menolak sekeras-kerasnya undang-undang yang jelas pro-pemaju ini,” kata mereka.
Sikap berdiam diri hanya menunjukkan kerajaan negeri bersekongkol dengan Kerajaan Persekutuan dalam menggadaikan hak rakyat Selangor.
Justeru kesemua 21 ADUN di Selangor itu menuntut supaya usul URA dihentikan serta-merta di Parlimen.
Kedua, draf undang-undang itu dikaji semula dengan libat urus menyeluruh bersama rakyat, HBA, NGO hak asasi, Kerajaan Negeri dan PBT.
Ketiga, ambang persetujuan dinaikkan ke 95%, pampasan adil setara nilai pasaran disediakan, tribunal bebas ditubuhkan dan kuota bumiputera terus dipertahankan.
“Kami tidak menolak pembangunan semula, tetapi pembangunan mestilah adil, telus dan berpihak kepada rakyat. URA dalam bentuknya hari ini adalah undang-undang pincang – pro-pemaju, anti-rakyat – dan tidak boleh diluluskan,” kata mereka.- MalaysiaGazette
















