Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menerima memorandum daripada Presiden Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD), M Nathan berikutan menggesa seluruh ahli parlimen supaya menyokong dan meluluskan Rang Undang-undang Pekerja Gig pada Himpunan Kembalikan Martabat Pemandu ketika di hadapan pintu masuk Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) menyifatkan mana-mana Ahli Parlimen yang menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig sebagai pengkhianat kepada nasib lebih 1.2 juta pekerja sektor berkenaan.

Presidennya, M. Nathan berkata, RUU tersebut amat penting kerana ia akan memberi perlindungan lebih baik kepada pekerja gig yang sebelum ini tidak dilindungi sewajarnya, termasuk isu kadar upah yang tidak tetap.

“Saya harap Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat berjiwa rakyat dan tidak menolak RUU ini. Harap semua sokong demi memberi kebebasan dan perlindungan kepada pekerja gig.

“Sekarang tiada akta untuk melindungi kami, upah tidak tetap, tugasan tidak setimpal. Kalau ada yang menolak atau melengahkan RUU ini, kita boleh katakan mereka pengkhianat kepada semua pekerja gig,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di perkarangan Parlimen, hari ini.

Hampir 100 orang berhimpun bagi meminta semua Ahli Parlimen menyokong RUU tersebut.

Memorandum yang dikemukakan TPAD mengandungi lima tuntutan utama iaitu penetapan harga lantai oleh Kementerian Pengangkutan bagi industri e-panggilan dan p-panggilan, pelaksanaan 21 tuntutan TPAD terdahulu, agihan tugasan secara adil kepada pemandu, semakan semula program Pembayaran Servis Grab serta kelulusan segera RUU Pekerja Gig.

Sementara itu, Steven berkata, RUU tersebut akan memberi manfaat besar kepada pekerja gig selepas diluluskan Parlimen.

“Kalau Parlimen luluskan, siapa jadi kerajaan sekalipun kena ikut undang-undang. Tidak kira platform atau majikan, semua kena ikut undang-undang, termasuk pekerja gig sendiri,” katanya sambil mendedahkan ada pihak cuba menolak RUU berkenaan.

RUU Pekerja Gig dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, manakala bacaan kali kedua dan ketiga dijadualkan esok.

Antara perkara utama yang terkandung dalam RUU itu termasuk pengenalan definisi rasmi pekerja gig, penetapan pampasan minimum, mekanisme aduan serta perlindungan keselamatan sosial melalui sumbangan mandatori kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast