KUALA LUMPUR – Ribuan pembeli di seluruh Malaysia berpeluang menggunakan beg tote hasil seni kreatif pelajar Reka Bentuk Grafik Universiti UCSI, Lim Jie Sheen.
Beliau muncul sebagai pemenang hadiah utama pertandingan reka bentuk anjuran TOP Detergent.
Lebih bermakna, nama dan tandatangan Jie Sheen bersama logo UCSI turut dicetak pada semua beg tote berkenaan.
“Saya berbangga kerana rekaan saya dapat ditonjolkan di seluruh negara. Peluang ini benar-benar meningkatkan keyakinan diri saya kerana saya tahu hasil kerja saya mampu memenuhi jangkaan industri.
“Ia merupakan pencapaian penting buat saya, dan menjadi dorongan untuk saya melanjutkan pelajaran serta mempersiapkan diri bagi cabaran yang lebih besar dalam industri reka bentuk,” kata Jie Sheen.
Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Universiti UCSI dan TOP Detergent bagi memberi pengalaman praktikal kepada para pelajar dalam bidang penjenamaan dan projek kreatif dunia sebenar.
Peserta ditugaskan untuk menggambarkan bagaimana teknologi baharu TOP Ultra Nano Fresh Tech memberikan cucian mendalam dan menyeluruh untuk menyingkirkan bau badan, peluh, kesan kotoran halus yang tidak kelihatan serta virus pada tahap paling mendalam.
“Saya amat berbesar hati melihat para pelajar dan alumni kita semakin menyerlah dalam industri kreatif.
“Daripada menyapu bersih tiga tempat teratas di Chery Omoda Artwrap Awards, meraih kedudukan terbaik dalam Adobe Certified Associate Championship, tersenarai dalam Malaysia Book of Records, hinggalah menjuarai Sony Pictures’ Underworld Figurine Competition — pencapaian mereka amat membanggakan,” ,” ujar Nabiela Aminudin, Ketua Program Multimedia di Institut Seni dan Reka Bentuk Kreatif (ICAD) UCSI.
Kemenangan terbaharu bersama TOP ini sekali lagi menonjolkan pengiktirafan industri, serta menjadi bukti terhadap impak besar yang mampu dicapai oleh pelajar UCSI.
Pertandingan bertemakan “Look Better, Feel Better and Live Better in Every Moment” bagi mempromosikan detergen terbaharu TOP ini menerima hampir 50 penyertaan daripada pelajar UCSI. – MalaysiaGazette
















