PUTRAJAYA – Sebanyak 89.51 juta transaksi tanpa tunai berjumlah RM10.47 bilion direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi pelaksanaan kaedah pembayaran tanpa tunai bermula 2024 hingga 24 Ogos 2025.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadli Ramli berkata, dari jumlah itu, sebanyak 43.01 juta transaksi tanpa tunai berjumlah RM 4.87 bilion direkodkan pada 2024.
“Dari jumlah itu, sebanyak 805 transaksi tanpa tunai melalui bayaran e-dompet di kaunter JPJ direkodkan berjumlah RM73,109.20 pada 2024.
“Sebanyak 46.5 juta transaksi tanpa tunai berjumlah RM5.6 bilion termasuk 245,626 transaksi bernilai RM19.6 juta dikutip melalui e-dompet di kaunter dan aplikasi MyJPJ setakat 24 Ogos 2025.
“JPJ percaya pelaksanaan ini akan terus meningkatkan jumlah transaksi tanpa tunai di semua kaunter bermula hari ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan pembayaran tanpa tunai melalui kaedah e-dompet di semua kaunter JPJ di seluruh negara menggunakan aplikasi Touch ‘n Go, GrabPay, MAE dan Boost.
Aedy juga berkata, peningkatan bayaran tanpa tunai itu hasil daripada pengaktifan 1,183 unit terminal Electronic Data Capture (EDC) dan aplikasi M-Device di semua kaunter JPJ.
“Siri latihan intensif telah diadakan kepada pegawai-pegawai kaunter JPJ sejak Februari hingga Mac 2025 bagi memberikan kefahaman menyeluruh tentang prosedur terimaan, pelaporan sistem My Sikap serta semakan transaksi di sistem.
“Ia sekali gus meningkatkan kecekapan warga JPJ dalam mengendalikan transaksi e-dompet,” katanya.
Katanya lagi, inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan pelanggan, bahkan mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai, meminimumkan risiko keselamatan kewangan.
“Dalam masa sama ia menyokong usaha kerajaan untuk mewujudkan persekitaran kerja tanpa tunai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















