KUALA LUMPUR – Dua penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang maut selepas terjatuh di sebuah kondominium di Persiaran Pertahanan, Taman Melati, di sini, pada 20 Ogos lalu, tiada hubungan kait antara satu sama lain.
Ketua Polis Kuala Kumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, ia diperoleh hasil siasatan awal ke atas kedua-dua mangsa melibatkan seorang penuntut wanita berusia 22 tahun dan seorang penuntut lelaki berumur 21 tahun.
“Ketika ini kita masih menjalankan siasatan dan dilakukan secara menyeluruh namun pada peringkat ini semua bukti akan diperoleh bagi melihat sama ada terdapat unsur perbuatan buli (dalam kejadian itu).
“Siasatan kita lakukan di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan selari dengan kertas siasatan yang dibuka sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, dua penuntut Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) disahkan maut selepas terjatuh dalam dua insiden berasingan di sebuah kondominium di Taman Melati, dalam tempoh 24 jam.
Kejadian pertama dilaporkan berlaku pada jam 6.45 pagi 20 Ogos lalu apabila seorang penuntut perempuan ditemui tidak bernyawa dipercayai terjatuh dari tingkat 22 bangunan berkenaan.
Kira-kira jam 8.30 malam hari sama, seorang penuntut lelaki dipercayai terjatuh dari tingkat 35 di kondominium sama, berhampiran sebuah kafetaria sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bedah siasat mendapati punca kematian adalah pelbagai kecederaan yang dialami akibat terjatuh dari tempat tinggi dan pemeriksaan di lokasi tiadak menemukan sebarang unsur jenayah. – MalaysiaGazette
















