Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam sesi wawancara khas bersama media di ibu pejabat SPRM, Putrajaya baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Sebanyak 16 substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 berjaya diselesaikan setakat ini sejak dilancarkan Mei tahun lalu.

Ia merangkumi substrategi yang dilaksanakan oleh 11 kementerian dan agensi kerajaan termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri.

Daripada jumlah itu, sebanyak lima substrategi telah berjaya diselesaikan bermula pada Julai tahun lalu, manakala 11 substrategi lagi berjaya diselesaikan bermula tahun ini sehingga bulan ini.

Substrategi yang dicapai itu adalah Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pelaksanaan penuh Modul KIAR 2.0 sebagai subjek wajib di institusi pendidikan tinggi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Selain itu, pembangunan kit duta sahsiah dalam memasukkan minggu tema etika, nilai murni dan antirasuah di sekolah oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan insentif kewangan tambahan daripada Insentif Penerbitan Filem Di Malaysia (FIMI) bagi penghasilan kandungan kreatif khusus oleh Kementerian Komunikasi.

Substrategi lain, adalah kewajiban syarikat untuk mengisytiharkan pemunya benefisial untuk mengambil bahagian dalam perolehan awam oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan mewajibkan pelaksanaan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) kepada seluruh perkhidmatan awam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Turut dicapai, adalah pelaksanaan pusingan kerja, Demerit Performance Evaluation (DEEP) oleh JPA serta garis panduan berkaitan peranan dan tanggungjawab pegawai Jabatan Audit Negara yang ditempatkan di Unit Audit Dalaman (UAD) kementerian/jabatan/agensi/Pejabat Setiausaha Kerajaan oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

Selain itu, mempertingkatkan pelaporan SPRM berkaitan status aduan kepada pengadu melalui pembangunan Complaints Management System 3.0 oleh SPRM serta pengeluaran garis panduan pelaksanaan sesi libat urus dengan penggubal undang-undang di Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) oleh SPRM.

Turut dicapai, dapatan kajian pelaksanaan perjanjian pendakwaan tertunda dalam kerangka perundangan negara oleh SPRM; meningkatkan sistem saringan dalam pengambilan kerja penjawat awam melalui penambahbaikan ke atas Sistem E-Vetting 3.0 oleh Pejabat Ketua Keselamatan Kerajaan Malaysia dan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Dua lagi substrategi yang turut berjaya dicapai adalah pengeluaran garis panduan sesi libat urus dengan masyarakat Orang Asli oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan penambahbaikan ke atas pemantauan berterusan menggunakan papan pemuka dalam talian Ketua Audit Negara oleh Jabatan Audit Negara.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan tersebut merupakan manifestasi komitmen dan kecekapan agensi yang terlibat dalam melaksanakan peranan masing-masing, selain menunjukkan kesungguhan serta keseriusan SPRM sebagai penggerak utama kepada pelaksanaan NACS.

“Banyak negara sebenarnya tidak mempunyai strategi pembanterasan rasuah yang jelas walaupun ia disyaratkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebab itu banyak negara mahu belajar daripada Malaysia terutamanya dengan SPRM sendiri berkenaan bagaimana kita merangka Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang dahulu serta kesinambungannya iaitu NACS yang kita laksanakan sekarang keranan hasil kejayaan yang kita capai sehingga kini,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM di sini baru-baru ini.

Menurut Azam, SPRM juga membuat sistem pemantauan berkala atau delivery monitoring termasuk yang melibatkan suruhanjaya berkenaan sendiri berkenaan pencapaian yang diperoleh sepanjang pelaksanaan NACS.

Kata beliau, setiap aktiviti yang menjurus kepada pelaksanaan kesemua substrategi ini dipantau melalui dua papan pemuka (dashboard) yang telah dibangunkan menggunakan pelayan (server) SPRM iaitu r-NACS dan d-NACS.

Menjelaskan lebih lanjut, tambahnya, r-NACS merupakan papan pemuka (dashboard) pemantauan pelaksanaan strategi empat kali setahun di antara pihak sekretariat dan agensi peneraju, manakala d-NACS merupakan tatapan umum bagi mana-mana substrategi yang telah selesai.

Tambahnya, pencapaian NACS itu sangat penting kerana ia berupaya menyumbang kepada kejayaan Malaysia dalam meningkatkan prestasi negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) sepertimana yang dihasratkan oleh Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, kata beliau, hala tuju NACS juga selaras dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Ketua Setiausaha Negara yang memantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembaharuan sektor awam.

“Ia antaranya menubuhkan Pasukan Petugas Khas CPI yang berperanan dalam menggerakkan pelaksanaan strategi pemantapan tatakelola dan antirasuah di semua peringkat selaras dengan sasaran nasional meletakkan Malaysia di tangga ke-25 teratas pada tahun 2033 dalam CPI ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast