JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor menyelar sikap sikap gelabah, gelojoh serta terburu-buru Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dalam merebut dan menentukan kerusi pilihan raya dalam pilihan raya nanti.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, sikap tersebut langsung tidak kena dengan mood rakyat yang kini sedang bergelut dengan beban kehidupan mereka.
Menurutnya, apa yang ditunjukkan Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor langsung tidak menunjukkan rasa empati dengan realiti kehidupan rakyat hari ini yang berdepan pelbagai cabaran dan permasalahan harian.
“Tatkala kehidupan rakyat hari ini sedang dibebani dengan pelbagai cabaran dan masalah, para pemimpin parti politik seharusnya menumpukan tenaga, pemikiran dan segala usaha untuk memastikan cabaran dan permasalahan rakyat ditangani pemimpin dengan baik dan bijaksana.
“Lebih-lebih lagi pemimpin politik yang datangnya dari parti-parti yang membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain dilaporkan berkata, sudah tiba masanya UMNO Johor menyatakan pendirian jelas sama ada terus bersama-sama Pakatan Harapan (PH) atau memilih pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Dr Zuhan berkata, ketika ini pihaknya menerima dan mengambil maklum terdapat beberapa Amanah di peringkat kawasan telah mengemukakan usul supaya pertandingan tiga penjuru dipertimbangkan.
Beliau berkata, Amanah Johor juga menyeru seluruh kepimpinan PH Johor bersedia dengan segala kemungkinan yang boleh berlaku.
Sebelum itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, pihakanya berhasrat menawan tiga kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor pada pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, pemimpin parti politik seharusnya lebih peka dan sensitif dengan kehendak dan kemahuan rakyat yang mengharapkan pemimpin untuk memikirkan nasib dan kehidupan seharian mereka.
Bukan berpolitik tanpa mengira musim, asyik memikirkan soal kerusi dan kuasa sepanjang masa, katanya.
Pemimpin parti politik katanya, harus muhasabah, sedar dan insaf bahawa prestasi dan kemampuan kerajaan menyelesaikan isu rakyat hari ini sedang dinilai dan diperhatikan rapat oleh rakyat.
Jelasnya, berpolitik 24 jam sehari tidak membantu ke arah memastikan kehidupan rakyat menjadi lebih sempurna.
Walaupun begitu katanya, UMNO Johor sesekali tidak akan terperangkap dengan permainan politik gelabah ini.
“Pemuda Johor yakin pemimpin UMNO Johor yang menerajui kerajaan negeri akan terus bekerja keras serta komited untuk memastikan setiap permasalahan rakyat ditangani dengan berkesan demi memastikan aspirasi agenda Maju Johor dapat direalisasikan dengan sebaiknya,” katanya.- MalaysiaGazette
















