Logo Angkatan Tentera Malaysia

Landskap keselamatan dan geopolitik Indo-Pasifik sedang mengalami perubahan besar yang menuntut perhatian segera. Sebagai sebuah negara maritim yang sangat strategik, Malaysia tidak boleh sekadar berpeluk tubuh. Banyak kepentingan kita yang akan terkesan jika perkara ini tidak diberikan perhatian serius. Rantau ini, khususnya Asia Tenggara dan ASEAN, telah menjadi medan saingan kuasa-kuasa besar. Pada masa yang sama, rantau Indo-Pasifik dan ASEAN berfungsi sebagai pentas utama bagi pelbagai bentuk kerjasama – pertahanan, pelaburan strategik, penstrukturan semula norma keselamatan serantau dan pelbagai lagi isu besar.

Pertembungan pengaruh antara blok Barat, China dan pelaku baharu seperti India, Korea Selatan dan Jepun mewujudkan jaringan kepentingan yang semakin rumit, sekali gus meletakkan tekanan kepada negara-negara kecil dan menengah untuk lebih bersikap jelas dan bersedia.

Kenyataan oleh Daniel Kritenbrink, Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik dalam syarahan beliau di Johns Hopkins University Bloomberg Center pada September 2024, menegaskan bahawa Indo-Pasifik merupakan rantau yang sangat penting kerana menempatkan separuh daripada populasi dunia dengan menyumbang kira-kira 60 peratus kepada ekonomi global, dan menjadi penyumbang kepada dua pertiga pertumbuhan ekonomi dunia dalam tempoh lima tahun kebelakangan. Dari segi strategik pula, kawasan ini merangkumi tujuh daripada pasukan tentera terbesar dunia serta lima sekutu perjanjian utama Amerika.

Laporan daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Februari 2024 turut melabelkan rantau Indo-Pasifik sebagai “the most dynamic and fastest-growing region on earth.” Ini disokong oleh data yang menunjukkan nilai dagangan antara Amerika Syarikat dan negara-negara Indo-Pasifik melebihi AS$2 trilion pada tahun 2022, manakala pelaburan langsung asing yang diterima dari rantau ini mencecah AS$956 bilion.

Lebih rumit, negara-negara dalam rantau ASEAN sendiri mempunyai kepentingan dan pendirian yang saling berbeza. Ada yang berkiblatkan Barat dan menjadi sekutu AS, ada yang percaya China ada rakan baharu yang mesti diraikan, ada yang masih mencari-cari arah dan tidak kurang ada yang sentiasa bersikap talam dua muka. Kesemua ini mencipta satu kedinamikan geopolitik yang menuntut perhatian dan penelitian mendalam terhadap rantau Indo-Pasifik dan impaknya kepada masa depan ASEAN – dan lebih penting, kepada masa depan Malaysia.

Terletak di persimpangan antara Laut China Selatan, Selat Melaka dan jaringan keselamatan Indo-Pasifik yang semakin kompleks, kedudukan Malaysia menjadikan sebarang perubahan dalam doktrin pertahanan, peta kerjasama ketenteraan atau eksesais antara kuasa besar memberi implikasi langsung terhadap ruang udara, maritim dan siber negara.

Lawatan rasmi oleh Admiral Samuel J. Paparo, Commander of United States Indo-Pacific Command, ke Wisma Pertahanan pada Mei lalu menandakan pengiktirafan terhadap peranan Malaysia sebagai rakan strategik yang signifikan. Pertemuan tersebut membawa mesej jelas bahawa Malaysia memegang posisi penting dalam ekosistem keselamatan Indo-Pasifik. Hubungan dengan Amerika Syarikat, sama ada melalui latihan bersama, pertukaran maklumat perisikan atau penyertaan dalam platform seperti ADMM-Plus, mencerminkan usaha pembentukan daya tahan kolektif yang mengimbangi kecenderungan hegemoni unilateral di rantau ini. Malah, kepengerusian ASEAN yang digalas Malaysia pada tahun ini pastinya menambah ‘tekanan’ dan harapan kepada Malaysia. Justeru, sangat wajar dan penting untuk Malaysia – khususnya Kementerian Pertahanan – mengambil satu tindakan berfokus bagi meneliti dan memahami perkara ini.

Menteri Pertahanan Malaysia, Yang Berhormat Dato Seri Khaled Nordin, semasa ADMM Retreat di Pulang Pinang Februari 2025 lalu, menzahirkan komitmen Malaysia dalam nada yang sangat selari dengan keperluan semasa. Komitmen kerajaan yang beliau zahirkan menunjukkan bahawa Malaysia mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN secara serius. Namun, kesemua itu harus menjangkau iltizam politik. Fokus dan perhatian kita kepada kedinamikan rantau Indo-Pasifik menuntut pendekatan yang lebih berpandangan jauh. Rantau ini sedang dihimpit tekanan geopolitik yang semakin kompleks, termasuklah ketegangan di Laut China Selatan, kemunculan pakatan keselamatan seperti AUKUS dan QUAD, sehinggalah kepada cabaran terhadap keluhuran undang-undang dan norma antarabangsa.

 

Keperluan Perancangan dan Tindakan Jangka Panjang

Langkah menghadapi realiti strategik Indo-Pasifik memerlukan lebih daripada sekadar kehadiran diplomatik atau penyertaan simbolik dalam forum antarabangsa. Malaysia perlu mempertimbang untuk membina satu kerangka dasar pertahanan dan luar negeri yang berasaskan perancangan jangka panjang, dengan sasaran pembangunan keupayaan yang boleh diukur dengan jelas.

Dalam konteks pertahanan, penegasan Menteri Pertahanan terhadap fokus jangka panjang mewajarkan MINDEF untuk meneliti perkara ini daripada lensa kedaulatan dan kepentingan strategik – pertahanan, ekonomi, kestabilan serantau dan keanjalan hubungan diplomatik Malaysia. Perkara-perkara seperti pelaburan terancang dalam keupayaan tempur, keselamatan maritim, sains strategik, sistem aeroangkasa, serta kecekapan logistik rentas sempadan mesti menjadi agenda MINDEF dalam skala yang lebih berfokus dan tersusun. Tanpa pelan strategik yang kukuh, negara akan terus bertindak dalam mod reaktif, mengikut arus dan terperangkap dalam kitaran pengurusan krisis tanpa penyelesaian struktur yang konkrit.

Keperluan satu penelitian, analisis dan laporan strategik yang bersifat foresight amat diperlukan. Analisis atau laporan sedemikian mesti menggariskan dengan jelas cabaran-cabaran sedia ada seterusnya mengenal pasti bidang-bidang yang boleh dijadikan tumpuan utama sekali gus mengesyorkan tindakan lanjut oleh Kerajaan. Selari dengan misi dan fokus Menteri Pertahanan, MINDEF dan ATM yang sedang mengusahakan transformasi pertahanan negara secara berperingkat, analisis serta laporan tuntas tentang cabaran serta masa depan rantau Indo-Pasifik sudah pasti akan sangat membantu semua pihak untuk merangka dasar dengan lebih realistik dan berkesan.

Berdasarkan pertemuan serta rundingan strategik Menteri Pertahanan dengan pelbagai rakan sejawat beliau dari negara-negara Indo-Pasifik sepanjang 2024 hingga kini, adalah jelas bahawa keperluan Malaysia untuk menyemak dan menyusun semula keupayaan rundingan antarabangsa sedang menjadi satu fokus penting dalam agenda beliau. Namun, semua itu mesti disokong oleh dasar susulan oleh pihak Kementerian dan kerajaan secara keseluruhan.

Fokus kepada Indo-Pasifik dan kepentingannya kepada Malaysia dan rantau ASEAN mesti diangkat menjadi perkara yang lebih besar. Sebarang kelengahan dalam membentuk visi jangka panjang atau kelonggaran dalam membina keupayaan domestik hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa Malaysia kekal sebagai pemerhati pasif dalam landskap Indo-Pasifik. Paling penting, sektor pertahanan kita akan terpaksa berhadapan dengan cabaran besar yang sepatutnya boleh dielakkan dengan persediaan awal dan strategik yang berkesan. Sudah tiba waktunya, aspirasi dan iltizam Menteri Pertahanan yang melihat Indo-Pasifik sebagai rantau kritikal terhadap sektor pertahanan Malaysia dijadikan agenda yang merentas MINDEF dan ATM.

Mohd Nor Azren Kamarudin

 

Oleh Mohd Nor Azren Kamarudin

Penulis merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam Pengajian Antarabangsa dan Diplomasi (Pengajian Eropah) serta berkhidmat sebagai pensyarah Mata Pelajaran Umum di Pusat Bahasa dan Pengajian Asasi, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast