KAJANG – Melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Peribahasa itu sinonim dengan langkah yang diambil Persatuan Penduduk, Taman Kantan Permai (TKP) di sini, apabila berjaya menganjurkan pertandingan pakaian beragam untuk kanak-kanak sempena sambutan Kemerdekaan ke-68 hari ini.
Seramai 28 peserta kanak-kanak berusia bawah 12 tahun memperagakan pakaian dengan rata-rata berkonsepkan Jalur Gemilang dengan cara tersendiri yang mencuit hati.
Telatah mereka menggayakan diri menghiburkan hadirin terutama ibu bapa dan jemputan.
Pengerusi Persatuan Penduduk TKP, Ismail Hori berkata, aktiviti seperti itu secara tidak langsung dapat menyuburkan semangat patriotik dan cintakan negara seawal usia muda di bangku sekolah rendah lagi.
Katanya, ia juga mampu mendidik anak-anak dalam kalangan warga TKP untuk merasai semangat kemerdekaan dengan penuh warna warni selain dapat memupuk jati diri sebagai warga negara yang cintakan tanahair.
“Kita mahu tonjolkan kepada generasi muda di peringkat kanak-kanak lagi berkenaan perihal pentingnya untuk menyayangi Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur dan perlu dijaga bersama-sama.
“Ini merupakan satu aktiviti sihat yang mana ia akan dikekalkan pada masa-masa akan datang,” katanya yang memberitahu program berkenaan disusun oleh Biro Pemuda dan Sukan Persatuan Penduduk TKP.
Antara aktiviti lain yang turut dijalankan dalam menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan iaitu pertandingan mewarna, wayang pacak, cabutan bertuah dan persembahan bunga api.
Sebelum ini, persatuan turut menganjurkan pertandingan futsal dan bola jaring yang dijalankan pada pertengahan Ogos lepas. – MalaysiaGazette
















