KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyambut baik serta menghargai nasihat dan panduan yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung semakan pilihan strategik pelaburan syarikat itu dalam Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).
Menurut PNB, panduan yang diberikan Perdana Menteri akan menjadi rujukan utama dalam memuktamadkan penilaian semakan strategik pelaburan berkenaan.
“Panduan tersebut adalah selari dengan rangka kerja pelaburan PNB yang selama ini memberi keutamaan kepada kepentingan pemegang unit, rakyat serta agenda nasional dan Bumiputera,” kata PNB dalam kenyataan hari ini.
SEmalam, Anwar meminta PNB untuk meletakkan kepentingan nasional dan Bumiputera sebagai pertimbangan utama dalam membuat sebarang keputusan berhubung pelupusan aset lebuh raya di bawah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).
Perdana Menteri berkata, selaku institusi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan nasional dan Bumiputera, PNB perlu mengekalkan peranan serta pegangan dalam aset-aset strategik negara.
PNB turut menegaskan bahawa, setiap keputusan pelaburan yang dibuat akan mengambil kira mandat utama syarikat iaitu memberi manfaat jangka panjang kepada pemegang unit dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.
Dalam hal ini, PNB memberi jaminan bahawa ia tidak akan memilih sebarang opsyen pelupusan pemilikan sekiranya langkah itu boleh menjejaskan kepentingan jangka panjang pemegang unit atau memberi kesan negatif terhadap usaha syarikat dalam menyokong agenda nasional.
“Kami komited memastikan setiap langkah yang diambil akan terus memperkukuhkan peranan PNB sebagai institusi pelaburan yang bertanggungjawab dan berteraskan nilai-nilai amanah demi kebaikan bersama,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















