JOHOR BAHRU – Projek mega yang sudah, sedang dan akan siap di negeri ini dijangka semakin membebankan dan meningkatkan kos sara hidup rakyat Johor.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, peningkatan itu adalah kesan daripada pelancaran Zon Ekonomi Istimewa Johor-Singapura (JS-SEZ) pada 8 Januari lalu dan siapnya Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru pada tahun ini.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor itu memberitahu, ia termasuk kelulusan 42 projek pusat data bernilai RM164.45 bilion serta jangkaan siap projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungi Johor Bahru-Singapura pada akhir 2026.
“Ini dijangka merangsang kenaikan pasaran hartanah kediaman di Johor Bahru sama ada dalam bentuk kenaikan harga sewaan atau kenaikan harga jualan hartanah kediaman.
“Kenaikan permintaan ke atas hartanah kediaman ini datangnya daripada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, rakyat Singapura yang berhasrat untuk menetap di Johor Bahru dan pelabur atau spekulator asing serta tempatan yang cuba merebut peluang pelaburan dalam hartanah kediaman di kawasan JS-SEZ.
“Kajian sebuah firma perunding hartanah (JLL Malaysia) menunjukkan harga jualan Pangsapuri Perkhidmatan telah meningkat 20.4 peratus pada 2024 kepada RM1,000-RM1,500 sekaki persegi di Johor Bahru manakala rumah teres dua tingkat telah meningkat 8.6 peratus pada tahun yg sama,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, menerusi kepantasan perkhidmatan RTS, rakyat Singapura akan mula mencari hartanah kediaman yang lebih selesa dan murah di dearah ini terutama hartanah bertanah (landed properties) sama ada untuk tujuan sewaan atau pembelian.
Kos perumahan, katanya, dianggarkan mewakili 20 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan isi rumah manakala kos makanan dan minuman mewakili 25 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan isi rumah.
“Peningkatan kepada Kos Sara Hidup hasil daripada peningkatan harga sewaan atau harga jualan hartanah kediaman (ansuran bulanan pinjaman perumahan) akan memberi tekanan kepada penduduk di Johor Bahru dari kumpulan B40 dan M40 khususnya mereka yang tidak bekerja di Singapura.
“Peningkatan kos sara hidup ini juga dicerminkan dalam kadar inflasi Johor yang sentiasa lebih tinggi daripada purata kadar inflasi nasional. Sebagai contoh bagi April 2025, kadar inflasi Johor adalah 2.2 peratus berbanding nasional 1.4 peratus, Mei pula kadar inflasi Johor 1.8 peratus berbanding nasional 1.2 peratus dan Jun kadar inflasi Johor 1.5 peratus berbanding nasional 1.1 peratus,” katanya.
Ujarnya, dalam keadaan sebegini kerajaan Johor perlu mengimbangkan antara pembangunan yang dilaksanakan dengan peningkatan kos sara hidup khususnya dalam bentuk peningkatan harga sewaan atau harga jualan hartanah kediaman.
Antara tindakan yang boleh diambil kerajaan Johor bagi mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup yang disumbangkan oleh kenaikan harga sewaan dan harga jualan hartanah kediaman kepada penduduk Johor Bahru adalah meningkatkan pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
“Kerajaan Johor juga perlu menambah bilangan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) khususnya yang terletak di Johor Bahru sementara itu mengekalkan status Program Perumahan Rakyat (PPR) yang sedia ada bagi tujuan sewaan. RSK dan PPR adalah di bawah penyeliaan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).
“RSK dan PPR adalah merupakan rumah transit dan perlu dihadkan tempoh sewaan maksima selama lima tahun supaya lebih ramai rakyat Johor berpeluang menyewa rumah transit ini sebelum mereka berkemampuan memilikki rumah sendiri selepas tempoh lima tahun,” katanya.
Kerajaan Johor boleh berkerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya membina lebih banyak Perumahan Residensi Rakyat (PRR) bagi tujuan sewaan, PR1MA dan Rumah Mesra Rakyat (RMR). Menurut KPKT bagi mempercepatkan proses Pembangunan Residensi Rakyat (PRR).
Kerajaan Johor boleh memanfaatkan 94 lot tanah Perindustrian berkeluasan 198 ekar di Kawasan Perindustrian Larkin-Tampoi yang mengikut ketetapan kerajaan Johor pada 2013 untuk tidak menyambung tempoh pajakannya dan sebaliknya menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan perumahan.
Meluaskan lagi pembiayaan perumahan melalui konsep Sewa dan Beli (RTO) supaya dapat memberi peluang lebih ramai pasangan muda untuk memilikki rumah di Johor Bahru.
Kerajaan Johor juga boleh memajukan Tanah Rizab Melayu (TRM) secara usahasama bagi pembangunan hartanah kediaman berstrata atau bertingkat tanpa meminggirkan tuan tanah atau pemilik tanah yang asal.
Kerajaan Johor juga boleh memanfaatkan Projek Landasan Berkembar laluan Gemas ke Johor Bahru yang menelan kos RM9.55 bilion yang telah siap dan perkhidmatan ETS dari Gemas ke Johar Bahru akan mula beroperasi tahun ini.
Kerajaan Johor boleh memperkenalkan perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan Kulai ke JB Sentral bagi menjadikannya mod pengangkutan utama kepada mereka yang tinggal di Kulai dan bekerja di JB.
Bahkan stesen mini boleh dibina di Senai, Taman Impian Emas, Kempas dan Larkin sebelum ke JB Sentral.
Tambah Dzulkefly, kerajaan Johor juga boleh membina RMMJ khususnya berstrata di station-station mini ini dan menjadikan Bas Muafakat Johor yang perkhidmatannya percuma sebagai feeder bus ke tempat-tempat kerja mereka di JB.
Jelasnya, pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) ini akan dapat mengurangkan jumlah kenderaan dan tempat letak kereta di Johor Bahru.- MalaysiaGazette
















