Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengibarkan Jalur Gemilang ketika hadir pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi Bulan September di Dewan Seri Lestari, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Putajaya. Foto SADIQ SANI, 02 SEPTEMBER 2025

PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mewujudkan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) khususnya untuk kanak-kanak autisme sekurang-kurangnya sebuah bagi setiap daerah menjelang 2027.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai permulaan, KKDW akan menubuhkan tiga tabika tersebut di Melaka pada tahun ini.

“Tahun depan kita akan wujudkan konsep satu negeri, satu tabika. Menjelang 2027, kita akan pastikan setiap daerah mempunyai sebuah tabika autisme, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW, awal pagi tadi.

Ahmad Zahid berkata, inisiatif itu merupakan antara fokus KKDW yang akan dibincangkan dalam sesi libat urus Belanjawan 2026, Khamis ini.

Selain itu, jelas Ahmad Zahid, KKDW juga akan memperluaskan peranan pengajian pra Maahad Tahfiz yang kini melibatkan 10,833 tabika.

“Kita telah memulakan (pengajian) Juzuk 30 untuk pelajar-pelajar atau anak-anak kita dari tiga hingga enam tahun.

“Jumlah yang telah menyertai adalah seramai 125,000 orang dan Insya-Allah kita akan menyasarkan penambahan lagi menjadikan 140,000 orang pada tahun hadapan,” katanya.

Bagi tujuan itu, kata Ahmad Zahid, KKDW akan menghantar guru-guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk mendalami pedagogi atau kaedah pengajaran baharu.

“Selama ini dilakukan secara konvensional dan kita akan melakukan beberapa transformasi,” katanya.

Katanya lagi, KKDW akan mengembangkan antara kursus akademik dan profesional dengan kursus al-Quran.

“Kita akan memberi penekanan MRSM Ulul Albab yang kini ada 57 semuanya kita tekankan, supaya mendapat keseimbangan dalam kalangan pelajar MRSM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast