KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat berjumlah RM28,014,625.59 daripada Tabung Haji (LTH) kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Penyerahan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Istana Alam Shah, Klang hari ini.
Katanya, TH berbesar hati dapat menunaikan kewajipan berkenaan di seluruh negara.
“Sebagai sebuah institusi Islam yang bertanggungjawab, Tabung Haji berbesar hati dapat menunaikan kewajipan zakatnya bukan sahaja di Selangor malah kepada kesemua negeri di Malaysia.
“Semoga keberkatan zakat ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan syiar Islam,” tulisnya menerusi Facebook hari ini.
Sebagai rekod, penyerahan zakat berkenaan merupakan sebahagian daripada jumlah zakat yang dilunaskan oleh TH bagi pihak semua pendepositnya.- MalaysiaGazette
















