KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap wanita berusia 41 tahun yang ‘mendekati’ Sultan Perak baru-baru ini kini menjurus kepada isu penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan rawatan psikiatri.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Program Diploma Kepolisan (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (JPK) PDRM di Auditorium, Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu hari ini.
Terdahulu suspek kes berkenaan telah direman tiga hari bagi membantu siasatan kes dibawah Seksyen 325 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
Semalam, polis juga telah membuka kertas enkuiri tatatertib terhadap pegawai dan anggota pengiring terbabit bagi mengenal pasti elemen kecuaian ketika kejadian.
Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata, pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas menjaga keselamatan pembesar utama negara serta orang kenamaan (VVIP) diwajibkan mengikuti kursus keselamatan bagi mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan ketika bertugas.
Ia susulan insiden seorang wanita menceroboh pentas utama dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak 2025 kelmarin.
“Kita akan mempertingkatkan tahap keselamatan bagi semua pemimpin dan ketua negeri termasuk sultan dan Yang di-Pertua Negeri.
“Peningkatan ini (keselamatan) akan diperkemas menerusi kursus pengawalan peribadi dengan menyerapkan elemen-elemen Unit Tindakan Khas dan juga Komando kepada semua pegawai yang bertugas dengan pihak Istana dan kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
















