KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis pengiring Istana Negara maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas ketika cuba mengelak pokok tumbang di Jalan Sungai Tua Ulu Yam, Selangor hari ini.
Dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Koperal Muhammad Faizal Abd Razak, 32, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Ibrahim Husin berkata, kejadian berlaku semasa mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dari Batang Kali menuju ke Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati motosikalnya hilang kawalan ketika cuba mengelak pokok tumbang sebelum terbabas ke lorong bertentangan.
“Mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















