KLUANG – Seorang remaja maut selepas kira-kira10 jam bertarung nyawa susulan terlibat kemalangan di kilometer 82, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pukul 11.45 malam melibatkan sebuah motosikal dan kereta.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa kereta Proton Saga BLM dipandu seorang wanita berusia 37 tahun dalam perjalanan dari Simpang Renggam ke Ayer Hitam.
“Semasa tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Honda RS ditunggang seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dari arah sama hilang kawalan dan melanggar kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, penunggang terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Namun katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian otak dan badan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HEBHK pukul 5.30 petang semalam.
Pemandu tersebut pula katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette
















