KUALA LUMPUR – Guna alasan keluar berjalan, atau bersiar-siar jumpa rakan antara alasan digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Bukit Bintang, malam tadi.
Dalam serbuan Ops Belanja itu turut membongkarkan kegiatan judi dalam talian di sebuah premis yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dengan tujuh hingga lapan warga asing sedang leka berjudi sebelum ditahan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, operasi khas itu dijalankan hasil risikan dan aduan awam yang dibuat tiga minggu lalu mendakwa kawasan terbabit dikuasai warga asing.
Katanya, ketika operasi bermula jam 7.30 malam itu melibatkan seramai 106 pegawai dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya terdapat warga asing yang sanggup memanjat atas bumbung bagi melarikan diri namun berjaya dipintas.
“Seramai 2,445 orang telah diperiksa dalam operasi ini terdiri daripada 1,600 warga asing dan 845 warga tempatan. Hasil pemeriksaan, 770 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen berusia antara 21 hingga 65 tahun.
“Kesemua tangkapan terdiri daripada 17 lelaki dan dua wanita Indonesia, 377 lelaki Bangladesh, 58 lelaki India, 235 lelaki Myanmar, 72 lelaki Nepal serta sembilan lain-lain warganegara,” katanya dalam sidang media selepas Ops Belanja di sini malam tadi.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan sebahagiannya bekerja di tapak pembinaan sekitar kawasan terbabit malah terdapat majikan yang menyewa premis untuk dijadikan tempat tinggal pekerja asing.
“Dalam pemeriksaan, antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
Basri juga memaklumkan, kesemua individu ditahan akan dibawa ke JIM Putrajaya untuk saringan awal sebelum ditempatkan di Depot Tahanan Beranang dan Lenggeng. – MalaysiaGazette
















