Wan Muhammad Azri Wan Deris

KUALA LUMPUR – Pendakwa raya akan merayu keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan penulis blog Papagomo daripada pertuduhan menghasut dengan mengaitkan kerajaan yang memerintah, pro kepada Israel dan negara barat.

Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini, notis rayuan akan difailkan dalam masa terdekat selepas mempertimbang keputusan hakim Mahkamah Sesyen berkenaan.

“Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujar kenyataan itu.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Siti Aminah Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 42, pada akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Wan Muhammad Azri didakwa telah menyebut kata-kata menghasut (mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan negara barat) dalam laman sosial Facebook milik seorang individu pukul 1 tengahari pada 8 November 2023.

Kata-kata menghasut itu kemudian dilihat oleh seorang individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin di Bukit Bintang di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam manakala Wan Muhammad Azri diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Sepanjang perbicaraan, seramai sembilan saksi pendakwaaan dipanggil memberi keterangan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast