JOHOR BAHRU – Seorang lelaki memberi alasan meminta bekas isterinya mencuci pakaian selain tumpang makan malam semasa ditangkap khalwat dalam sebuah rumah flat di Kempas di sini awal pagi tadi.
Lelaki berkenaan juga memberi alasan datang ke rumah itu kerana mahu melihat anaknya semasa pihak Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan pemeriksaan pada pukul 1 pagi.
Bagaimanapun alasan tersebut tidak menghalang anggota penguat kuasa tersebut untuk melakukan pemeriksaan.
JAINJ dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mendapat aduan daripada orang awam tentang pasangan tersebut sebelum bergegas membuat pemeriksaan.
“Pemeriksaan penguat kuasa menemui seorang wanita dan lelaki berusia 30-an. Hubungan mereka sebelum ini adalah suami isteri dan telah bercerai talak satu setahun yang lepas.
“Turut ditemui dalam rumah adalah seorang anak. Apabila ditanya apa tujuan datang, dia mengatakan minta tolong isteri basuh baju dan tumpang makan malam. Selain itu, dia datang nak tengok anak,” menurut kenyataan dalam Facebook JAINJ hari ini.
Menurut kenyataan itu, apabila ditanya sama ada sudah tidur bersama-sama, pasangan tersebut tidak memberikan jawapan.
Penguat kuasa terbabit menasihatkan pasangan berkenaan yang dimaklumkan sering kali bertemu supaya segera menikah semula.
Namun, katanya, suspek lelaki memberitahu tidak mahu merujuk semula pada awalnya tetapi selepas empat bulan tempoh iddah tamat, mereka kembali berdamai dan kembali suka antara satu sama lain.
Jelasnya, mereka kemudian semakin rapat dan lelaki tersebut dimaklumkan kerap berkunjung ke rumah bekas isterinya dan mahu merujuk semula.
“Apabila datang ke pejabat kadi, pegawai kata sudah habis iddah dan tak boleh rujuk lagi. Kalau mahu bernikah semula, kena buat proses biasa termasuk cari wali,” katanya.
Masalah timbul apabila lelaki berkenaan sudah bergaduh dengan abang iparnya yang sebelum ini wali bagi pihak isterinya dan sehingga kini tidak bertegur sapa.
“Hubungan terlarang mereka terus berjalan tanpa nikah dan jiran-jiran memerhati sahaja. Jiran kenal pasangan ini semasa dia orang suami isteri dan tahu mereka bercerai.
Jika sabit kesalahan khalwat pasangan terbabit boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette
















