JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan mengeluarkan garis panduan terbaharu dalam masa terdekat bagi memastikan persembahan kuda kepang atau aktiviti lain tidak mengandungi unsur syirik dan khurafat.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, garis panduan tersebut sudah dibuat bersama-sama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Jelasnya, garis panduan baharu itu akan mencakupi pelbagai aktiviti contohnya persembahan kebudayaan, silat atau sukan yang mempunyai unsur tidak menepati ajaran dan akidah Islam.
“Garis panduan ini akan melibatkan semua persembahan atau aktiviti yang mempunyai unsur sajian (kepada makhluk lain), pemujaan dan hilang kewarasan seperti permainan kuda kepang.
“Kita bukan nak hapuskan kuda kepang, tidak. Persembahan kuda kepang dibenarkan asalkan tidak mengandungi tiga unsur tersebut ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Timur Tengah Tahun 2025 di Dewan Bizmillla di sini hari ini.
Katanya, bagi membanteras kepercayaan dan amalan bertentangan dengan Islam, pihak JAINJ juga sedang menyiasat wujudnya perkhidmatan dukun yang didapati menyeleweng daripada akidah.
Beliau memberitahu, JAINJ menerima kira-kira 10 aduan berkenaan mereka yang menggunakan khidmat dukun dalam tempoh dua tahun ini.
“Saya difahamkan masih lagi ada yang bertemu dengan dukun-dukun. Ini pun hal-hal terpencil dan nak tangkap susah. Kena ada aduan yang betul.
“Sebelum menangkap mereka kita kena buat intipan, kalau kita serbu dan tangkap sebelum pemujaan, memang tak nampaklah pemujaan (bukti) itu nanti,” katanya.
Selasa lalu, tiga lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Syariah Batu Pahat selepas terbabit dalam upacara pemujaan tarian kuda kepang pada 10 dan 11 Ogos lalu.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan lapang hadapan sebuah rumah, Jalan Pasar, Parit Raja di sini antara pukul 10 malam hingga 1 pagi pada 10 dan 11 Ogos lalu.
Terdahulu tular sebuah video berdurasi satu minit dalam media sosial memaparkan ritual tarian kuda kepang yang dikaitkan dengan amalan syirik di daerah ini.
Rakaman tersebut menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita berkumpul sambil diiringi paluan gong serta alunan muzik, selain kelihatan dua lelaki seperti mengalami kerasukan.- MalaysiaGazette
















