Kompleks Mahkamah Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap seorang duda atas tuduhan mencederakan bekas isterinya menggunakan topi keledar, Ahad lalu.

Majistret Atifah Hazimah Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohammad Firdaus Osman, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 34 tahun dengan menggunakan topi keledar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Kampung Sentosa, Pasir Gudang di sini, pukul 5.30 petang pada 31 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, Nurul Hidayah Mohammad Asri memaklumkan tertuduh memohon hukuman denda yang ringan dengan alasan mempunyai tiga orang anak yang mana dua daripadanya di bawah jagaan tertuduh.

“Tertuduh bekerja memasang khemah kanopi jika ada kenduri kahwin. Tertuduh mengaku bersalah dan memberi kerjasama baik sepanjang siasatan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan mengambil kira kecederaan dialami mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, tertuduh telah memukul bahagian kepala dan tengkuk mangsa menggunakan topi keledar dan akibat perbuatan itu, wanita berkenaan cedera di dua bahagian anggota badan terbabit.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang petani, K, Raju, 50, pula dihukum penjara empat bulan selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya bulan lalu.

Bagi perbuatan yang dilakukan tertuduh di sebuah rumah dekat Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram di sini pukul 2.40 pagi pada 6 Ogos lalu dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, Raju turut dihukum penjara empat bulan selepas mengaku bersalah bagi satu lagi pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada mangsa sama yang berusia 45 tahun itu di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Nabilah Hamzah memberitahu, tertuduh yang juga bapa kepada tiga anak bergaji RM1,400 sebulan dan menanggung ibu bapanya.

Katanya, ia adalah kesalahan pertama tertuduh dan lelaki itu yang direman sejak 6 Ogos lalu menyesal dan mohon maaf atas perbuatannya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast