Mohd Fared merakam kenangan selepas merasmikan Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar Timur Tengah Tahun 2025 di Eco Galleria, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Umat Islam d Johor perlu terus melaksanakan solat hajat dan berdoa memohon perlindungan susulan siri gegaran gempa bumi yang berlaku di Batu Pahat beberapa hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd Khalid berkata, amalan itu tidak hanya dilakukan ketika berlakunya bencana, sebaliknya perlu diteruskan pada setiap masa sebagai usaha memohon keselamatan dan kesejahteraan.

“Doa dan solat hajat ini wajar diteruskan tanpa mengira waktu, bukan hanya ketika berlaku gegaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar ke Luar Negara Tahun 2025 di Eco Galleria, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Penasihat MAINJ, Datuk Dr. Nooh Gadot dan Pengarah Wilayah Selatan Lembaga Tabung Haji, Rozimin Ahamed Kamil.

Petang semalam, satu lagi gempa bumi lemah terbaharu bermagnitud 2.9 direkodkan di Sri Medan, Parit Sulong, Batu Pahat.

Sebelum itu, lima gegaran direkodkan di Segamat bermula dengan kejadian pertama pada pukul 6.13 pagi, 24 Ogos lepas dengan magnitud 4.1; 8.59 pagi, Rabu (3.2); 7.56 malam, Khamis (2.5); 4.24 pagi, Jumaat (3.4) dan 7.29 pagi Sabtu (2.7).

Pada 24 Ogos lalu, satu gegaran turut direkodkan di Yong Peng, 28 kilometer Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8.

Sementara gegaran bermagnitud 3.0 dikatakan berlaku di Semerah, Batu Pahat pukul 1.57 petang Ahad lalu, menurut mesej pemberitahuan dalam Google.

Dalam pada itu Mohd Fared berkata , solat hajat khusus untuk mendoakan keselamatan Palestin turut akan diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar pada Ahad atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

“Program itu juga disertai dengan penyerahan sumbangan kerajaan negeri kepada Tabung Kasih Palestin dan dijangka dihadiri kira-kira 1,000 jemaah.

“Difahamkan pemain-pemain pasukan bola sepak Johor Darul Takzim akan menyertai program berkenaan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast