BATU PAHAT – Infrastruktur dan bangunan di daerah ini wajar dinilai semula daripada segi ketahanan seismik selepas berlaku dua gempa bumi baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkarnain Kamisan berkata, walaupun risikonya rendah kerana gegaran yang berlaku lemah tetapi langkah itu wajar.
“Kerajaan juga perlu mempertingkatkan kajian geofizik lanjut terhadap zon sesar di Johor selain Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melakukan pemantauan berterusan,” katanya ketika dihubungi.
Gempa bumi lemah pertama direkodkan di Semerah, di sini, pada 31 Ogos lalu apabila satu gegaran lemah 3.0 skala richter berlaku di Selat Melaka pada kedalam 10 kilometer iaitu 28 kilometer barat daya Batu Pahat.
Gegaran kedua pula direkodkan di Sri Medan, Parit Sulong, di sini, petang semalam menjadikannya gegaran kelapan sejak kejadian pertama di Segamat pada 24 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, ramai yang terkejut dan tidak menyangka akan berlaku gempa bumi di daerah ini.
Jelasnya, ini kerana jarak antara daerah ini dan Segamat lebih 80 kilometer, malah sebelum sempadan Segamat-Batu Pahat terdapat kawasan seperti Chaah, Labis dan daerah Muar.
Bagaimana pun, katanya, kedua-dua kejadian sama ada petang semalam dan Ahad lalu tidak dirasai oleh penduduk dan tiada sebarang kejadian membimbangkan berlaku.
Meskipun begitu katanya, penerangan secara berdepan akan diberi kepada penduduk di Sri Medan mengenai langkah-langkah yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kejadian serupa atau lebih kuat pada masa akan datang.
Ujarnya, pada masa ini penduduk tetap menjalankan aktiviti harian seperti biasa tanpa ada rasa kebimbangan bahawa gegaran lebih kuat akan berlaku.
“Sama-sama kita berdoa agar kawasan Sri Medan dan Batu Pahat khususnya terhindar daripada sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – MalaysiaGazette
















