Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah), Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (lima dari kanan) dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (lima dari kiri) bergambar bersama penerima-penerima anugerah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Tahun 1447 Hijrah/2025 Masihi

KUANTAN – Umat Islam harus memastikan setiap denyut nadi kehidupan dengan berpaksi kepada petunjuk al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kedua-duanya adalah tunjang dalam pembinaan tamadun Islam yang menyatukan umat dan memelihara daripada perpecahan.

“Al-Quran menjadi suluh kehidupan, sunnah Rasulullah sebagai pedoman. Apabila keduanya benar-benar dihayati, umat ini akan teguh bagaikan gunung, bersatu bagai aur dengan tebing, disegani lawan dan kawan, terselamat daripada kesesatan serta terpelihara daripada perpecahan,” titahnya.

 

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika titah diraja sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Tahun 1447 Hijrah/2025 Masihi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan hari ini

 

 

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam titah diraja sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Tahun 1447 Hijrah/2025 Masihi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini yang dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung.

Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta paduka-paduka anakanda.

Baginda turut menyeru agar setiap masjid dan surau di negeri ini tidak sekadar menjadi tempat bersujud tetapi menjadi pusat penyuburan ilmu dan cahaya Al-Quran.

“Oleh itu, seluruh masjid di negeri ini perlu mengambil langkah proaktif untuk menubuhkan kelas-kelas pengajian Al-Quran dengan menjadikan modul yang dibangunkan oleh Jabatan Agama Islam melalui Masjid Negeri Sultan Ahmad I sebagai panduan dan rujukan,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah dalam masa sama turut menzahirkan kegusaran terhadap budaya perkauman sempit yang kian menular.

Sikap sedemikian katanya bukan sahaja memperdalam jurang prasangka, malah mencambahkan bibit kebencian yang akhirnya boleh merosakkan keamanan negara.

“Fenomena 3R iaitu agama, raja dan kaum kian meruncing sejak akhir-akhir ini ibarat bara yang disiram minyak. Realiti Malaysia yang dihuni masyarakat berbilang kaum dan agama menunut kebijaksanaan yang tinggi.

“Islam menjadi anutan majoriti Melayu, Buddha bagi sebahagian besar kaum Cina manakala Hindu pula dianuti kaum India. Kepelbagaian ini andai tidak diurus dengan adil, boleh menjadi retak yang menanti belah,” titah baginda lagi.

Justeru, Al-Sultan Abdullah menyeru para pemimpin, ulama, penguatkuasa dan rakyat jelata supaya menjunjung keadilan dalam segenap urusan.

Sempena majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan pengurniaan anugerah kepada penerima.

Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) ,  Datuk Dr. Zulkiflee Haji Ali Al-Hafiz dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang tahun ini.

Beliau yang lahir di Kampung Sepat, di sini merupakan Hakim Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri dan Kebangsaan dan dilantik sebagai  Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Muallaf Negeri Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast