KLUANG – Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam menangkap seekor buaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Rahman Andak, Simpang Renggam dekat sini hari ini.
Komander Operasi dari BBP Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Syawal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.15 pagi.
“Bomba mendapati seekor buaya berukuran empat kaki berada dalam kawasan sekolah. Pihak bomba menangkap buaya berkenaan dengan menggunakan satu penjerut dan semasa operasi tiada pelajar.
“Kejadian tersebut disedari pengawal keselamatan sekolah tersebut sebelum menghubungi guru dan guru menghubungi bomba untuk bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kehadiran buaya di SMK tersebut tidak diketahui dari mana dan dipercayai tersesat masuk ke situ.
Jelasnya, pihak bomba sudah menghubungi pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang akan mengambilnya.
“Buat sementara waktu buaya tersebut ditempatkan di balai bomba. Operasi ini melibatkan enam anggota dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT),” katanya.- MalaysiaGazette
















