JOHOR BAHRU – Wang simpanan seorang wanita lesap RM251,852 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian, sejak Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku apabila mangsa, 35, ditawarkan peluang pelaburan dengan keuntungan yang lumayan dalam tempoh seminggu pada 7 Julai lalu.
“Kejadian berlaku semasa mangsa berada di rumahnya di Taman Seri Austin di sini selepas menerima mesej menerusi Whatsapp daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat pelaburan Rp Pro.
“Mangsa kemudian ditawarkan peluang pelaburan yang kononnya memberi keuntungan sehingga 10 peratus daripada modal yang dilaburkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa yang gelap mata melakukan 12 transaksi ke enam akaun berbeza diberikan suspek yang dilakukan antara 7 Julai hingga 29 Ogos lalu.
Jelasnya, mangsa hanya perlu menunggu dan dijanjikan keuntungan yang akan dimasukkan terus ke dalam akaun miliknya dalam tempoh berkenaan.
“Mangsa hanya menerima keuntungan berjumlah RM5,850 pada peringkat awal bertujuan memberikan keyakinan. Namun suspek kemudian meminta bayaran tambahan kononnya untuk mengeluarkan keuntungan seterusnya,” ujarnya.
Mangsa katanya, sedar ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Menurutnya, kerugian yang dialami mangsa berjumlah RM251,852 melibatkan wang simpanan sendiri hasil pekerjaan sebelum ini sebagai jurujual produk kesihatan.
Pihak polis katanya, sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan butiran akaun bank terlibat, merekod keterangan pihak bank, melakukan semakan bersama-sama pihak syarikat telekomunikasi (Telco).
Tujuannya kata beliau, bagi mengenal pasti nombor telefon yang digunakan serta mengesan dan menangkap suspek terlibat.
“Semakan awal melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCIS) mendapati semua akaun yang digunakan ini tidak mempunyai rekod penipuan, namun disyaki telah disalahgunakan untuk tujuan penipuan,” katanya.
Tambah Raub, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















