KLUANG – Polis menahan seorang wanita selepas melakukan khianat dengan api di pekarangan sebuah rumah di Jalan Permai, Taman Sri Permai, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima laporan kejadian tersebut kira-kira pada pukul 5.30 pagi.
“Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 3.30 pagi selepas mangsa terdengar bunyi seperti barang atau objek dibaling ke dalam rumah.
“Hasil pemeriksaan mendapati pekarangan rumah dan kereta telah terbakar serta sekeping kerata yang berbaur ugutan turut ditemui di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, susulan itu sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar menahan wanita berusia 46 tahun di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru.
Jelasnya, semakan mendapati suspek tiada sebarang rekod kesalahan jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Suspek katanya, ditahan reman bermula hari ini sehingga 12 September ini, kes disiasat bawah Seksyen 435 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang 07-7784222; direct line 07-7784256; hotline 07-7766822 atau tablet DCC 014-3656822.- MalaysiaGazette
















