Tangkap layar video yang tular yang memaparkan orang ramai mengerumuni tempat kejadian di Jalan Bunga Raya, Kampung Melayu, Simpang Renggam, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Polis menahan seorang lelaki yang terbabas dan melanggar pagar rumah serta garaj kereta sebuah rumah di Jalan Bunga Raya, Kampung Melayu, Simpang Renggam, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 11.30 malam apabila kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun itu terbabas di lokasi.

“Hasil siasatan mendapati kereta jenis Proton Wira yang dipandu lelaki warga tempatan tersebut datang dari arah Johor Bahru menghala ke Ayer Hitam.

“Ketika sampai di lokasi, kereta terbabit telah terbabas dan melanggar pagar rumah sebelum melanggar garaj kereta sebuah rumah di kampung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya, pemandu kereta serta penghuni rumah terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah Bahrin, Pegawai Penyiasat Trafik yang tiba ke lokasi telah membuat tangkapan terhadap pemandu tersebut untuk siasatan lanjut.

Ujian saringan air kencing pemandu kereta terbabit didapati negatif, katanya.

“Sampel darah pemandu kereta juga telah diambil bagi rujukan ke jabatan kimia bagi mengesan kandungan alkohol yang ada dalam badannya. Pemandu kereta juga telah ditahan reman selama dua hari untuk siasatan lanjut,” kata beliau.

Bahrin berkata, kes disiasat bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memandu kenderaan di atas jalan raya secara melulu yang boleh membahayakan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan didenda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Kes juga ujarnya, disiasat di bawah Seksyen 45A (1) APJ 1987 memandu dengan kandungan alkohol dalam badan melebihi had yang ditetapkan.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 hingga RM30,000, juga penjara hingga dua tahun dan hilang kelayakan memegang lesen memamdu selama minimum dua tahun.

“Polis turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa dalam pemanduan agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Video kejadian tersebut tular dalam media sosial yang memaparkan orang ramai mengerumuni tempat kejadian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast