NILAI – Sebuah premis perniagaan di sini yang dijadikan sebagai pusat hiburan khas untuk warganegara Myanmar digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi satu Operasi Khas, pada Sabtu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, premis hiburan yang diuruskan warganegara Myanmar itu dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu hanya menerima pelanggan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“Premis hiburan itu hanya menerima pelanggan warganegara Myanmar dan menawarkan gadis pelayan dari negara sama dengan bayaran antara RM150 hingga RM200 seorang.
“Pelanggan diwajibkan memesan minuman keras bagi memasuki pusat hiburan ini.
“Mereka turut ditawarkan gadis pelayan warganegara Myanmar dengan bayaran sebanyak RM150 hingga RM200 setiap seorang,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Zakaria juga berkata, dalam Operasi Khas JIM yang bermula jam 12.01 tengah malam itu berjaya menahan seorang perempuan warganegara Myanmar yang disyaki ‘penjaga premis’.
“JIM bertindak atas maklumat risikan selama dua minggu turut menahan 20 wanita warganegara Myanmar yang disyaki bekerja sebagai ‘gadis pelayan’.
“Kesemua 21 wanita warganegara Myanmar yang ditahan itu berusia antara 25 hingga 40 tahun,” katanya.

Menurut Zakaria, semakan awal mendapati, seramai lapan wanita warganegara Myanmar melakukan kesalahan imigresen kerana tinggal lebih masa.
“Manakala 13 individu lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi telah menyita buku catatan urusniaga dan tujuh unit telefon bimbit,” katanya.

Jelasnya, seorang wanita warganegara Myanmar ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Sek.6(3)Akta Imigresen 1959/63
“Seramai 12 wanita warganegara Myanmar disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala lapan individu lagi disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.15(4) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua warganegara asing yang ditahan di bawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, seramai lima lelaki dan seorang wanita warganegara Myanmar diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
“Jabatan ini akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi mengekang kemasukan dan keberadaan warga asing tanpa izin.
“Ia selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan kedaulatan undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















