GEORGE TOWN – Seorang ibu menuntut keadilan buat dua anak kembarnya selepas mendakwa mereka dilayan buruk oleh ibu tiri dalam kejadian di sebuah flat di Balik Pulau.
Wana Talia mendakwa, anak kembar berusia lapan tahun itu dipaksa tidur di kaki lima rumah atas alasan ‘buas’ selain disuruh menutup mata ketika makan serta perlu menghabiskan semua makanan kerana tidak memakan sayur.
“Apa perasaan ampa kalau tengok benda ni jadi kat anak-anak hang pa. Apa dugaan Allah nak bagi kat hang pa wahai si kembar ibu. Ya Allah, bantu aku bangkit dan bersemangat.
“Saya memang tak sangka sampai tahap macam ni. Anak saya kot, bukan anak binatang buas. Mereka baru darjah dua. Jahat mana pun depa, mereka ada hati dan perasaan,” katanya dalam catatan di Facebook.
Menurut Wana, dia menyerahkan hak penjagaan kepada bekas suami selepas perceraian kerana yakin kehidupan anak-anak lebih terjamin bersama bapa mereka.
Katanya, keputusan itu dibuat ketika hidup dalam kesusahan namun kini berusaha bangkit demi membela nasib anak-anak.
“Masa tu saya fikir semua baik-baik saja. Saya ingat anak-anak bahagia dalam pelukan babah depa. Saya ingat mak tiri depa baik, masak bagi makan. Tapi rupa-rupanya anak saya tidur di kaki lima flat.
“Masa tu saya jatuh terduduk, memang tak mampu. Tapi Allah saja yang tahu. Sekarang saya cuba bangkit semula untuk bela anak-anak dan menerima sokongan keluarga,” katanya.
Wana turut mendakwa memiliki bukti bergambar serta memohon agar ibu tiri berkenaan berhenti memperlakukan kembar itu secara tidak sepatutnya.
Luahan tersebut menimbulkan simpati orang ramai, malah ada yang mendesak Jabatan Kebajikan Masyarakat menyiasat perkara itu. – MalaysiaGazette
















