ALOR SETAR – Pimpinan empat kerajaan negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis (SG4) di bawah pentadbiran Pas diingatkan tidak menjadikan projek politik yang kemudiannya berakhir dengan retorik.
Pembahas Pemuda Pas Terengganu, Abdul Manaff Ghani berkata, jika parti Islam itu mahu meraih kepercayaan rakyat, pimpinan SG4 perlu membuktikan dengan tindakan.
“Rakyat mahu lihat hasil, peluang kerja, harga barang stabil, pelaburan masuk dan kebajikan rakyat terjaga.
“Wahai pimpinan, berikan ruang kepada pemuda. Jangan letakkan kami hanya di kerusi penonton. Kami mahu turun ke gelanggang, menjadi penggerak, menjadi pemikir dan menjadi pelaksana.
“Kami yakin, jika pemuda digerakkan, SG4 akan jadi lebih daripada slogan, ia akan jadi bukti bahawa Islam mampu memerintah dengan cemerlang, berwibawa dan membela rakyat,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas pada Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-66 di Kompleks Pas Kedah hari ini.
Abdul Manaff berkata, ia tidak boleh terhenti setakat kenyataan akhbar bahkan ia mesti diterjemahkan kepada hasil nyata kepada rakyat termasuk pekerjaan untuk anak muda, pelaburan membawa manfaat serta kebajikan tersusun.
“Namun, mari kita jujur. Potensi tanpa pelaksanaan hanyalah retorik. SG4 mesti menyediakan peluang untuk anak muda. Negeri kita sarat dengan bakat dari bidang teknikal, profesional, usahawan hingga aktivis masyarakat.
“Tetapi jika bakat ini tidak diberi ruang, mereka akan berhijrah ke bandar besar atau ke luar negara.
“SG4 mesti menjadi platform yang membuka ruang pekerjaan berpendapatan tinggi, latihan kemahiran, peluang keusahawanan, dan keterlibatan dalam pembuatan dasar,” katanya.
Selain itu, Manaff turut mencadangkan agar Pemuda Pas dalam SG4 menubuhkan Sekretariat Hubungan Parti Antara Negeri SG4.
“Sekretariat ini boleh mengurus jaringan belia, menggerakkan ekonomi anak muda rentas negeri dan mengangkat suara pemuda ke meja perundingan SG4,” katanya.
Katanya lagi, pemuda tidak boleh sekadar jadi pemerhati bahkan mesti menjadi pasukan pemikir kepada dasar, mencadang polisi, menganalisis data dan memberikan naratif.
“Jika SG4 mahu berkesan, ia perlu didokong dengan idea segar daripada anak muda, bukan hanya kertas rasmi daripada birokrat. Jangan kita lupa, SG4 juga medan tarbiah. Pemuda mesti membina diri dengan ilmu, akhlak dan disiplin perjuangan.
“Apabila kita masuk ke ruang polisi dan pentadbiran, kita membawa nilai Islam yang sebenar, adil, amanah dan berpihak kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















