Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Mohd Amar Nik Abdullah.

ALOR SETAR – Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Mohd Amar Abdullah melahirkan keyakinan parti itu mampu memenangi 80 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“80 kerusi…,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita berkenaan sasaran kemenangan kerusi Parlimen oleh Pas pada PRU-16.

Sebelum ini, Mohd Amar turut menjangkakan Pas mampu memenangi 40 kerusi Parlimen pada PRU-15, yang mana parti itu kemudiannya berjaya menawan 43 kerusi, sekali gus menjadi parti dengan jumlah kerusi Parlimen terbesar di negara ini.

Terdahulu, semasa berucap merasmikan Muktamar Muslimat Pas kali ke-65, Mohd Amar menjangkakan PRU-16 akan berlangsung pada tahun depan, iaitu tempoh masa yang disifatkan semakin dekat dan singkat.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh jentera Pas khususnya sayap muslimat mempersiapkan diri dengan perancangan dan strategi memandangkan pengundi wanita melebihi 50 peratus sekali gus menjadi penentu utama kemenangan seseorang calon.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan calon Perdana Menteri daripada Pas, Mohd Amar berkata, bukan keperluan buat masa ini untuk menamakan mana-mana individu sebagai `poster boy’.

Apatah lagi, ujarnya, kuasa menentukan siapa yang akan dilantik sama ada sebagai Menteri Besar dan Perdana Menteri juga terletak pada Sultan atau Yang di-Pertuan Agong yang mana semua pihak perlu menghormati sensitiviti tersebut.

Bagaimanapun, tegas beliau, ia tidak bermaksud Pas tidak mempunyai calon yang layak untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, malah kesemua 43 Ahli Parlimen Pas sedia ada ketika ini juga disifatkan boleh menjadi Perdana Menteri.

“Mengapa tidak ada (calon PM dari Pas), saya pun boleh jadi PM, apa masalah?

“Tapi apa keperluan untuk kita sebut calon PM ini? Bagi kami sejak dulu pun Pas tidak pernah menampilkan apa yang disebut `poster boy’, di negeri-negeri pun memang tidak ada.

“Yang penting pada kita adalah menang pilihan raya dulu, bila kita menang sesiapa pun layak,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah, Mohd Amar turut melahirkan keyakinan Pas tersebut mampu melakar kemenangan sulung pada PRN kali ini.

Dalam masa sama, ujarnya, Pas tidak menolak kemungkinan bertanding di lebih tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti disasarkan sebelum ini.

“Sebelum ini kita sasarkan tujuh kerusi, tapi ada perkembangan terbaharu, mungkin kita akan tambah lagi (kerusi), tapi belum muktamad…kita tunggu DUN bubar terlebih dahulu, baru kita umumkan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast