Seramai 200 orang wakil pelajar hadir membuat perhimpunan aman bagi membantah cadangan pemansuhan matrikulasi oleh Umany di hadapan Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 13 SEPTEMBER 2025

PUTRAJAYA – Matrikulasi, program ASASI, Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) mahu pun bidang latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai peranan tersendiri dalam melahirkan mahasiswa berkualiti di negara ini.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsan (MPPK) berkata, kesemua program tersebut memberi pilihan lebih luas kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk meneruskan pelajaran ke institusi pengajian tinggi mengikut kecenderungan dan potensi masing-masing.

Sehubungan itu, Presidennya Muhammad Haykal Mohd Halid menegaskan, MPPK menolak dan tidak bersetuju dengan tuntutan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) yang mahu program matrikulasi dihapuskan dan menjadikan STPM sebagai aliran tunggal ke universiti.

”Pemansuhan program matrikulasi bukan sahaja akan mengurangkan akses pendidikan kepada sebahagian besar pelajar, malah tidak mencerminkan kepentingan jangka panjang pembangunan pendidikan negara.

“Program matrikulasi telah terbukti memainkan peranan besar dalam menyediakan landasan yang efektif bagi melahirkan mahasiswa cemerlang serta menampung keperluan tenaga mahir negara,” katanya.

Muhammad Haykal Halid

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan perhimpunan aman dan penyampaian memorandum bantahan berhubung perkara berkenaan di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini, hari ini.

Perhimpunan tersebut disertai kira-kira 200 perwakilan pelajar daripada 20 universiti.

Memorandum tersebut diterima Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Kepimpinan dan Jati Diri, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Asyraf Radzwan.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Haykal berkata, MPPK mengecam sebarang tindakan, desakan atau pendekatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mahasiswa serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Ujarnya, setiap isu pendidikan perlu dibincangkan dengan rasional dan profesional, bukan bertindak berpandukan emosi atau kepentingan tertentu semata-mata.

Tambah beliau, hanya melalui pendekatan yang matang, progresif dan berpandangan jauh, barulah keharmonian masyarakat serta perpaduan negara dapat terus dipelihara,” katanya.

“Sehubungan itu, MPPK menyeru agar perbincangan mengenai masa depan pendidikan dilaksanakan dengan semangat keterangkuman, keadilan dan kesaksamaan.

“Perancangan dasar pendidikan perlu berteraskan kepentingan jangka panjang negara, mengutamakan agenda pembangunan insan serta memastikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, mendapat manfaat daripada sistem pendidikan yang saksama dan berkualiti.

Sementara itu, seorang pelajar Universiti Malaya, Nur Akil Shamil Mohamed yang juga bekas pelajar pusat asasi universiti itu turut menyelar cadangan yang dikemukakan UMANY untuk memansuhkan program matrikulasi.

Beliau menegaskan, cadangan berkenaan tidak rasional kerana kedua-dua sistem penilaian STPM dan matrikulasi berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013–2025).

Nur Akil Shamil Mohamed

“Dakwaan bahawa silibus STPM jauh lebih mencabar berbanding matrikulasi tidak tepat.

“Malah, Program Pelajar Cemerlang Matrikulasi (PPC) turut menawarkan peluang pelajar melanjutkan pengajian ke luar negara, termasuk United Kingdom dan Ireland, membuktikan matrikulasi juga kompetitif serta diiktiraf di peringkat global.

“Tindakan UMANY seolah-olah meragui kredibiliti penilaian yang ditetapkan kerajaan, sedangkan mereka tiada kapasiti atau autoriti untuk berbuat demikian,” katanya lagi.

Nur Akil berkata, cadangan memansuhkan matrikulasi berisiko menyebabkan ribuan pelajar lepasan program itu langsung tidak mendapat tempat di universiti awam.

“Adakah itu keadilan yang cuba diperjuangkan? Hanya kerana seorang pelajar tidak mendapat universiti pilihannya, masa depan ribuan pelajar lain tidak wajar digadaikan. Peribahasa Melayu ada mengingatkan kita, ‘Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar’,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast