KUANTAN – Seorang pekerja kuari dikhuatiri tertimbus dalam kejadian runtuhan batu di sebuah kuari di Ulu Gali, Sungai Ruan Raub semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mangsa sedang mengendalikan sebuah jengkaut di lokasi kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari sebelum berlaku runtuhan batu.

“Beberapa pekerja yang menyaksikan kejadian mendakwa mangsa sempat melarikan diri dengan melompat sebelum tertimbus runtuhan batu.
“Keluasan kawasan yang tertimbus dianggarkan 300 meter persegi manakala kedalamannya belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd Shahril, kejadian dimaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan pada pukul 1.30 tengah hari.
Bagaimanapun, katanya, pasukan bomba gagal menemui mangsa setelah cuba membuat penggalian di kawasan runtuhan tempat mangsa dipercayai tertimbus.
Beliau berkata, operasi SAR ditangguhkan kira-kira 7.30 malam tadi dan disambung semula pada pagi ini dengan bantuan unit anjing pengesan (K9).

Usaha mengesan mangsa, Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, yang beralamat dari Tanah Merah, Kelantan masih dijalankan hari ini.
Sementara itu, tiga pekerja kuari warga asing yang turut berada di lokasi ketika kejadian terbabit dilaporkan terselamat.
“Pekerja warga asing yang terselamat dan mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















