wong chen
Wong Chen

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengakui rasa kurang selamat selepas menerima ugutan menerusi emel, pada Jumaat lalu.

Katanya, selepas 13 tahun menjadi wakil rakyat, perkara tersebut  tidak pernah berlaku sebelum ini, meskipun ketika PKR di pihak pembangkang.

“Ironinya, sebagai Ahli Parlimen dari PKR, parti pemerintah Kerajaan Madani, saya secara peribadi berasa kurang selamat sebagai seorang ahli perundangan sekarang, berbanding semasa saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pembangkang pada kerajaan terdahulu.

“Hakikat bahawa percubaan peras ugut ini begitu palsu dan dilaksanakan dengan teruk, adalah lebih membimbangkan saya,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliau mengesahkan menerima ugutan menerusi emel yang dihantar ke pejabat khidmat parlimennya, telefon bimbit dan komputer ribanya.

Menurutnya, perkara tersebut dimaklumkan oleh pegawainya.

Katanya, ugutan berkenaan sama seperti yang diterima bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Rafizi Ramli.

Jelasnya, emel berkenaan terdiri daripada peras ugutan, gambarnya lucah lelaki berbogel dan kod QR untuk pemindahan wang sebanyak  USDT100,000.

Malah, katanya, dia diugut telah dipantau untuk tempoh lama.

“Mesej tersebut menyatakan bahawa saya telah diikuti dan dipantau untuk jangka masa yang panjang, dan individu itu kini mempunyai video seks saya yang boleh memalukan saya, serta akan menyiarkan video tersebut dalam masa tiga hari melainkan saya membuat pembayaran sebanyak USDT100,000 melalui kod QR yang disertakan yang menghubungkan kepada akaun mata wang kripto atau stablecoin,” katanya lagi.

Wong Chen dan pegawainya kemudian membuat laporan polis.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan keperluan untuk membuat kenyataan terkini memandangkan isu tersebut menjadi tumpuan.

“Dan saya mempunyai tanggungjawab untuk melindungi maruah dan kehormatan pejabat saya, rakyat Parlimen Subang yang saya wakili dan juga keluarga saya,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau meminta pihak yang menyebarkan gambar berkenaan dan mendakwa ia diekastrak daripada telefon bimbit saya yang digodam menghentikan tindakan berkenaan.

“Apa yang membingungkan ialah individu tersebut melakukannya dengan cara yang sangat malas dan tidak profesional sehingga menggunakan gambar yang sama.

“Terdapat juga banyak khabar angin yang palsu di media sosial bahawa telefon bimbit saya telah digodam dan video seks itu diekstrak darinya. Saya meminta mereka yang menyebarkan perkara ini supaya menghentikannya. Mereka boleh menebus diri dengan menyebarkan kenyataan akhbar ini secara meluas,” tambahnya.

Selain itu, ahli Parlimen berkenaan telah meminta pakar IT dan mata wang kripto untuk membantunya mengenal pasti pemilik akaun yang membuat ugutan berkenaan.

Terkini, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dilapor berkata, pihaknya masih mengesan penghantar emel ugutan yang diterima Wong Chen.

Menurutnya, permohonan sudah dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mendapatkan butiran penghantar emel berkenaan.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast