Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya

ALOR SETAR – Pas sentiasa terbuka kepada semua pimpinannya memberikan cadangan untuk menambah baik potensi kemenangan dalam pilihan raya termasuk penggunaan simbol bulan di Kedah dan Perlis.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, sebarang keputusan perlu mengambil kira semua pandangan termasuk penerimaan rakyat sebelum mengikut jejak langkah Kelantan dan Terengganu.

“Dalam jemaah Pas, kita memang terbuka untuk siapa-siapa bagi pandangan, tapi bila sampai masa kita akan buat keputusan.

“Keputusan itu akan mengambil kira banyak sudut yang akan menjadi asas pertimbangan termasuk politik dan penerimaan rakyat.

“Bila sampai masanya, kita akan buat keputusan, negeri dan jentera akan terima apa sahaja arahan (Pas Pusat),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Maahad Darul Hadis di sini semalam.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Hashim mencadangkan Pas agar menggunakan simbolnya sendiri di empat negeri SG4 termasuk Kedah dan Perlis sekiranya tidak mahu kehilangan kerusi dalam pilihan raya akan datang.

Menurut Hashim Jasin berkata, pendekatan itu ternyata berhasil apabila Pas menggunakan simbolnya dalam pilihan raya di Kelantan dan Terengganu, sebelum ini.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden bercakap kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, Kedah, pada Ahad.

Selain itu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, beliau menghormati cadangan itu kerana ia mempunyai kelebihan dan kekurangan yang perlu dibincangkan secara mendalam sebelum pelaksanaan.

“Itu pandangan Mursyidul Am Pas, pandangan tu boleh diperbincangkan, ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

“Tapi sekarang ini kita di Kedah bertanding atas logo Perikatan Nasional (PN) bersama dengan Perlis, selain Kelantan dan Terengganu,” katanya yang ditemui di Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.

Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri merangkap Exco Kerajaan Kedah, Datuk Aishah Ghazali bercakap kepada MalaysiaGazette selepas penangguhan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas ke-65 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar, Kedah pada Ahad

Bagi Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri merangkap Exco Kerajaan Kedah, Datuk Aishah Ghazali berkata, sayap parti Islam itu sentiasa akur kepada keputusan pimpinan pusat walaupun sebelum ini memang 33 kerusi atas tiket PN.

“Kita akan ikut jawatankuasa yang akan menentukan, apa pimpinan buat keputusan itu kita akan ikut.

“Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu kita guna logo PN, kita menang 33 dari 36 kerusi DUN Kedah, soal kembali nak guna logo bulan itu kita serah kepada pimpinan menentukan dan kita akan patuh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast