Pembahas As-Sabiqun, Mohamad Noor Mohamad

ALOR SETAR – Pimpinan tertinggi Parti Islam SeMalaysia (Pas) diingatkan tidak ‘tawaduk’ pada tempatnya hingga terlepas peluang untuk menjadi Perdana Menteri apabila Perikatan Nasional (PN) menang besar dan membentuk kerajaan.

Pembahas As-Sabiqun, Mohamad Noor Mohamad berkata, sekiranya Pas tidak berhati-hati dengan sikap tawaduk itu, kelak parti Melayu-Islam itu akan ditolak dalam kepimpinan PN.

“Usahlah pemimpin kita tawaduk tak kena tempat. Bagi lagi pada orang lain menjadi Perdana Menteri.

“Bertolak ansur adalah sifat terbaik, namun jika pimpinan tak berhati-hati, Pas akan beransur-ansur ditolak dalam kepimpinan PN,” katanya membahaskan ucapan dasar Presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, di sini, hari ini.

Mohamad Noor juga berkata, jentera yang berdisiplin akan menjadi aset strategik parti, malah mampu menggerakkan kempen secara sistematik.

“Jentera sebegini mampu menyampaikan mesej parti dengan seragam, menghadapi lawan dengan tenang dan menjadi benteng daripada anasir perpecahan,” katanya.

Menurut Mohamad Noor, disiplin jentera parti juga sangat bergantung kepada contoh yang ditunjukkan olah saf kepimpinan tertinggi.

“Jika pimpinan tegas menjaga masa, mematuhi keputusan bersama serta mengutamakan kepentingan jemaah berbanding kepentingan peribadi, maka jentera di bawah lebih mudah meneladani budaya tersebut,” katanya.

Katanya lagi, sesebuah parti politik perlu mempunyai kod etika dan peraturan disiplin yang jelas.

“Mekanisme jawatankuasa tatatertib, saluran aduan dan tindakan tatatertib yang telus dan cepat akan memastikan jentera parti berada di atas landasan yang betul.

“Ketegasan dalam menangani pelanggaran disiplin bukan bermaksud menghukum semata-mata, tetapi mendidik agar kesilapan tidak diulangi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast